MKN: PM cabar kuasa Agong sebagai ketua negara?

SALMIYAH HARUN | .

PAS mengajak seluruh rakyat sama ada secara individu atau organisasi untuk membantah penubuhan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, penubuhan MKN dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan apabila ia disifatkan suatu bentuk tindakan untuk mengatasi kuasa yang dipunyai oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).

Jelasnya, yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, kuasa diberikan kepada Perdana Menteri (PM) melalui MKN untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan adalah serupa dengan kuasa Agong untuk mengisytiharkan kawasan darurat.

"Perkara ini boleh difahami berdasarkan Seksyen 18-36 berkaitan kawasan keselamatan yang jelas sekali berbentuk pentadbiran darurat seperti yang dinyatakan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, MKN juga bakal mempunyai kuasa untuk mengawal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedangkan Agong adalah merupakan pemerintah tertinggi ATM, tetapi peranan Agong terhadap MKN atau kuasa Baginda ke atas Majlis tersebut langsung tidak dinyatakan.

"Saya juga khuatir dengan kuasa yang terlalu besar diberikan kepada badan eksekutif khususnya kepada PM, ia bakal mencetuskan lebih banyak salah guna kuasa dan mengurangkan kuasa atau peranan badan kehakiman.

"Justeru semakin menghakis konsep pengasingan kuasa di negara ini menyebabkan pentadbiran negara akan menjadi semakin tidak berkesan," katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Akta Majlis Keselamatan Negara yang diluluskan oleh Dewan Rakyat adalah bagi menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat di negara ini.

Menurutnya, kuasa eksekutif yang diberikan kepada MKN adalah suatu yang tidak boleh disalahguna.

Ramai pihak telah mengkritik MKN selepas diberi 15 kuasa khas dalam operasi keselamatan negara yang akan ditubuhkan untuk mengawal dan menyelaras entiti kerajaan dalam operasi keselamatan. – HARAKAHDAILY 9/12/2015

Share on Myspace