Sarawak: Ke mana pergi peruntukan jalan kampung?

JOFRI JARAIEE, PAS SARAWAK | .

BAJET 2016 Sarawak lebih fokus kepada pembangunan infrastruktur yang mapan, terutamanya di luar bandar Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Persidangan Dewan Undangan Negeri telah memberi penekanan kepada pembangunan di luar bandar terutama dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Setiap kali Persidangan Dewan Undangan Negeri, kerajaan akan memberi berjuta-juta ringgit peruntukan pembangunan infrastruktur untuk luar bandar tetapi masalahnya masih terdapat lagi jalan kampung berlubang dan teruk berlaku terutama di kawasan luar bandar Sarawak yang perlu diberi perhatian.

Abdul Kamil Saimon salah seorang penduduk di Kampung Bakam di Dun Lambir mengadu bahawa jalan ke arah rumah beliau masih teruk dan kawasan rumahnya juga sering dilanda banjir kilat apabila hujan lebat.

Jalan ke rumahnya menuruni anak bukit dan berhampiran dengan Sungai Bakam sering dilanda banjir kilat.

Beliau pernah mengadu masalah ini dengan wakil rakyat di kawasan tersebut tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Beliau amat kecewa dengan sikap sambil lewa wakil rakyat yang tidak mengambil perhatian masalah penduduk kampung yang amat memerlukan bantuan terutama yang berkaitan dengan masalah jalan dan kawasan perumahan yang mudah dilanda banjir.

Beliau harap pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan dapat meninjau keadaan dan masalah yang dihadapi oleh penduduk di Kampung Bakam kerana masih banyak lagi masalah rakyat yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Kita menggesa pihak berkuasa serta mereka yang berkenaan dapat menggunakan peruntukan bajet untuk jalan dan kemudahan asas luar bandar digunakan untuk menaik taraf keperluan penduduk di situ.

Kita yakin dengan peruntukan sedia ada yang berjumlah berjuta-juta ringgit itu kalau digunakan sepenuhnya, sudah pasti banyak masalah rakyat dapat diselesaikan.  

Jangan hanya waktu pilihan raya, barulah nak tunjuk muka kononnya nak bagi bantuan kepada penduduk kampung dengan tujuan untuk memancing undi. Tugas seorang wakil rakyat adalah menangani masalah rakyat bukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Kita menggesa kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Adenan Satem dapat menilai semula wakil rakyat yang telah dipilih agar berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Layan semua rakyat dengan adil dan jangan mengganggu tugas agensi kerajaan yang terlibat dalam memberi kebajikan rakyat dengan sikap pilih kasih dalam memberi peruntukan untuk kemudahan rakyat dalam sesuatu kawasan.

Rakyat amat mengharapkan kemudahan asas serta kebajikan mereka terjaga tanpa ada perasaan ditakut-takutkan dengan ancaman tidak diberi peruntukan oleh pihak tertentu sekiranya mereka menyuarakan masalah mereka kepada pihak yang berkenaan.

Kita harap masalah jalan di Kampung Bakam dan kawasan sekitarnya dapat diatasi dengan segera.

Harapan kami adalah tiada lagi aduan bahawa hanya jalan-jalan tertentu diturap dengan tar dan bahagian lain yang tidak berturap sepenuhnya dengan tar seperti yang berlaku dengan jalan yang menuju ke rumah Abdul Kamil.

Kerjasama dengan pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan untuk sama-sama menyelesaikan masalah rakyat ini tanpa ada perasaan pilih kasih amat dihargai. - HARAKAHDAILY 9/12/2015

Share on Myspace