Sekutu pemuafakatan PAS adalah rakyat

DR MOHD ZUHDI MARZUKI | .

Selepas Muktamar PAS pada bulan Jun yang lepas, Presiden PAS telah membawa PAS untuk menerokai peta jajaran yang baru, iaitu membuat pemuafakatan langsung dengan rakyat seterusnya membentuk blok sekutu baru.

Pembentukan blok sekutu baru ini digagaskan bersama-sama dengan ratusan kumpulan masyarakat madani (NGOs) dan tokoh-tokoh perseorangan bermula dengan penganjuran Kongres Rakyat Peringkat Nasional.

Melalui muafakat ini, PAS telah berhubung langsung dengan rakyat dan tidak lagi berperantarakan parti-parti politik.

Blok sekutu yang baru ini tidak pro Barisan Nasional (BN) dan tidak pro Pakatan Harapan (PH), sebaliknya pro rakyat.

Dengan pengertian lain, pendirian dan tindakan yang diambil dalam menangani sesuatu isu adalah untuk memenuhi hasrat dan kepentingan rakyat, bukan untuk millage politik sesebuah parti politik atau tokoh politik tertentu.

Oleh sebab itu, kebelakangan ini boleh diperhatikan ada pendirian dan tindakan PAS dilihat memihak kepada kerajaan dan terdapat pula yang bertentangan dengan kehendak kerajaan.

PAS sebelum ini menolak perancangan sesetengah pihak yang mahu menumbangkan kerajaan melalui cara yang tidak lazim bagi sesebuah negara yang mengamalkan pilihan raya, disebabkan kaedah ini akan menjerumuskan negara kepada ketidakstabilan yang berpanjangan.

Kemudian PAS mengambil sikap berkecuali dalam pengundian meluluskan Bajet 2016, disebabkan ada manfaat dalam bajet tersebut yang boleh diperolehi rakyat. Manakala bagi mengatasi perkara yang membebankan rakyat dalam Bajet 2016, PAS telah mengemukakan cadangan balas yang realistik.

PAS berkongsi kebimbangan yang mendalam bersama-sama kumpulan masyarakat madani dan tokoh-tokoh perseorangan terhadap hasrat kerajaan menyertai TPPA.

Apabila kerajaan mulai bersedia untuk menandatangani perjanjian itu awal tahun hadapan, PAS bersama kumpulan masyarakat madani dan tokoh-tokoh perseorangan akan membuat bantahan secara besar-besaran.

PAS bersama-sama dengan rakyat meyakini, TPPA adalah satu bentuk 'penjahan baru' dan sekaligus perjanjian ini akan merugikan negara dan rakyat.

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat perubahan pendekatan yang diterokai oleh Presiden PAS ini sebagai satu lambang kematangan politik dan satu anjakan baru ke arah mentaliti politik kelas pertama.

Yang terkini, kesediaan Presiden PAS untuk berada dalam forum yang sama bersama-sama dengan Perdana Menteri, bercakap tentang perpaduan ummah dalam Multaqa Serantau Alumni al-Azhar, merupakan satu lagi petunjuk politik matang yang meletakkan kepentingan ummah dan rakyat Malaysia khususnya sebagai keutamaan.

PPP melihat keterujaan Perdana Menteri terhadap perubahan pendirian dan tindakan PAS mutakhir ini, sebagai satu signal yang baik menunjukkan PAS adalah pengamal politik berhemah.

Sebagai sebuah parti yang berdasarkan Islam, PPP meyakini PAS akan mempertimbangkan sesuatu perkara dengan meletakkan kepentingan negara dan rakyat di hadapan.

PAS akan membantah sekiranya keputusan kerajaan merugikan negara dan rakyat, dan sebagai altefnatif PAS akan mengemukakan cadangan Islamik.

Demikian juga, PAS akan menyokong keputusan kerajaan sekiranya membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.

Seterusnya, PPP meyakini rakyat akan semakin mantap untuk terus bersama PAS dengan penerokaan baru ini.

Rakyat selepas ini akan lebih memahami, bahawa PAS bukanlah sekutu BN dan PAS bukan juga sekutu PH, sebaliknya sekutu yang  bermuafakat secara langsung dengan PAS adalah rakyat.

Kongres Rakyat yang telah digagaskan bersama sejak penganjurannya di peringkat nasional September lalu kini sedang bergerak ke seluruh pelosok negara.

Kongres Rakyat peringkat negeri Kedah baru berlalu, kini Kongres Rakyat peringkat negeri Pulau Pinang akan menyusul. - HARAKAHDAILY 9/12/2015

Penulis ialah Pengarah PPP.

Share on Myspace