G25: Akal mendahului ilmu dan wahyu

NURIDAH MOHD SALLEH | .

DEWAN Muslimat PAS Malaysia mengecam tindakan kumpulan bekas penjawat awam, G25 melalui jurucakapnya Datuk Noor Farida Ariffin yang mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah termasuklah hukuman khalwat dengan hujah akal. Malah, kumpulan itu turut mencadangkan pemansuhan JAKIM.

Merujuk Mahkamah Rendah, Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam Seksyen 154: Khalwat, kesalahan kerana berkhalwat boleh didenda tidak melebihi RM3,000.00 atau tidak melebihi 2 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalwat di rumah sama sekali bukanlah hak asasi manusia yang perlu dipertahankan.

Islam telah menggariskan undang-undang dan hukuman demi menjaga kehormatan dan maruah manusia.

Perlakuan khalwat boleh mengundang zina, kelahiran anak luar nikah dan akhirnya mengancam institusi keluarga dan masyarakat.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Isra' Ayat 32:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

“Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk."

Tindakan kumpulan G25 ini bukan sahaja mengundang kekeliruan kepada masyarakat, malah mencabar agama Islam itu sendiri dan bertentangan dengan Perlembagaan Negara, seterusnya boleh membawa kepada murtad.

Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia menggesa agar kumpulan ini menarik balik kenyataan tersebut atau tindakan sewajarnya harus diambil kena telah menghina institusi perundangan negara secara terang-terangan.

Dewan Muslimat PAS Malaysia bersedia membantu kumpulan G25 untuk mendapat penerangan lanjut berkaitan khalwat menurut perspektif syariah dan perundangan negara pada bila-bila masa.

Dewan Muslimat PAS Malaysia turut mencadangkan agar umat Islam di Malaysia khususnya tidak terpengaruh dengan ajaran liberalisme yang menggunakan hujah akal semata-mata mendahului ilmu dan wahyu.

Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT adalah merupakan satu cara hidup.

Semua keperluan hidup manusia telah digariskn oleh Allah SWT dalam Al Quran dan sunnah Baginda SAW.  

Hanyalah dengan kembali kepada ketetapan Allah sahajalah hidup manusia akan tenang dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 9/12/2015

Penulis Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia

Share on Myspace