Mangsa banjir terima kunci rumah kekal

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Selepas hampir setahun berteduh di rumah transit akhirnya 30 mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat bah besar akhir tahun lepas menerima kunci rumah Desa Darul Ehsan semalam.

Seramai 30 mangsa banjir menerima kunci rumah banglow tersebut yang disampaikan Exco kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Sebanyak 60 unit dibina kerajaan Selangor di kawasan seluas 7 ekar  membabitkan kos RM6.2 juta.

Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah berkata separuh daripada 60 mangsa banjir kini boleh menduduki rumah tersebut selepas menumpang di rumah transit sebelum ini.

Katanya mangsa banjir terbabit sebelum ini menumpang di tanah rezab sungai dan Kereta Api Tanah Melayu, musnah sama sekali akibat banjir besar akhir tahun lepas.

“Kita bersyukur kini mereka boleh tinggal di rumah yang jauh lebih selesa dan lokasinya lebih selamat berbanding tapak rumah lama mereka.

“Sebagai mewakili rakyat Dun Manek Urai saya  merakamkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan Selangor kerana membiayai rumah kekal mangsa banjir terbabit,” katanya di sini.

Hadir sama pada program itu anggota Exco kerajaa Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Mengkebang, Abdul Latif Abd Rahman dan Ketua Jajahan Kuala Krai, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Difahamkan penyerahan fasa kedua 30 unit lagi di Desa Darul Ehsan dijangka dilakukan Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob Februari depan.

Pelancaran projek terbabit dilakukan pada 17 Jun lepas oleh Mohamad Azmin Ali.

Mohd Fauzi juga berkata sebanyak 10 rumah kekal fasa pertama siap dibina kerajaan negeri di Dun Manek Urai dan enam lagi dalam pembinaan fasa kedua. - HARAKAHDAILY 9/12/2015

Share on Myspace