GST: Rumah mampu milik naik harga

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Bebanan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ternyata memberi kesan kepada pembinaan projek perumahan sehingga memaksa berlaku kenaikan harga.

Mengambil kira masalah tersebut kerajaan negeri menambah peruntukan bagi membolehkan projek rumah mampu milik Kelantan di Badang dekat sini dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM9 juta bagi projek berkenaan.

Katanya projek tersebut telah dilakukan pecah tanah pada 23 Febuari tahun lepas serentak dengan pelancaran projek rumah mampu milik Kelantan.

“Ia dibangunkan di kawasan seluas 4.92 ekar akan dibangunkan tiga blok yang mengandungi unit rumah kos rendah, sederhana rendah dan sederhana.

“Sebanyak 334 unit akan dibina di penempatan tersebut. Kerja-kerja menanam cerucuk sudah dilaksanakan,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian antara Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Kota Darulnaim hari ini.

Pada majlis itu Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri mewakili kerajaan negeri, manakala PKINK diwakili Ketua Eksekutif, Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Timbalan Menteri Besar, Ustaz Datuk Mohd Amar Abdullah.

Hadir sama anggota-anggota Exco, pegawai kanan kerajaan negeri dan PKINK.

Rumah mampu milik di Badang merupakan projek pertama kerajaan negeri meliputi kos rendah sebanyak 162 unit, sederhana rendah (108 unit) dan sederhana (64 unit).

Rumah kos rendah dijual dengan harga RM45,000, sederhana rendah (RM85,000) dan sederhana (RM130,000).

Bagaimanapun sebelum pelaksanaan GST apartmen itu ditawar pada harga RM43,000 kos rendah, sederhana rendah (RM65,000) dan sederhana (RM99,000).

Abdul Fattah berkata, projek berkenaan memberi keutamaan kepada penduduk yang tinggal di lembah Sungai Kelantan di sekitar Kota Bharu.

Syarat lain keluarga yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan. - HARAKAHDAILY 9/12/2015

Share on Myspace