Barat kagumi al-Quran, G25 taksub akal

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Pihak yang menganggap isu khalwat hak privasi seseorang disifatkan sebagai berada di luar kewajaran akal dan adab manusia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Mumtaz Md Nawi berkata perbuatan khalwat dengan berdua-dua antara lelaki dan perempuan bukan mahram merupakan penyumbang kepada kanser masyarakat.

“Ini bukan sebuah cereka semata-mata. Perbuatan khalwat di premis milik peribadi adalah dosa pelakunya dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam.

“Malaysia satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu,” katanya yang juga seorang peguam.

Isu khalwat menjadi geger apabila jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin dilapor memberitahu pihaknya menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana ia hak dan privasi seseorang.

Mumtaz juga berkata, hubungan sulit di tempat sunyi terletak di bawah Enakmen Keluarga Islam.

Khalwat dimaksudkan berdua-duaan tanpa hubungan yang sah dan dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak.

“Untuk apa G25 mahu mencari populariti dan kontroversi. Mereka dilihat seperti mahu meminda undang-undang Allah kerana bertentangan dengan nafsu manusia,” katanya.

Menurutnya pada saat masyarat barat dan timur tercari-cari kebenaran dengan keajaiban al-Quran, ada juga golongan memuja hukum manusia. – HARAKAHDAILY 10/12/2015

Share on Myspace