Makin ramai anggota polis pilih bersara awal

BERNAMA | .

DUNGUN: Bilangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan lebih awal meningkat apabila hampir 2,000 anggota yang berumur dalam lingkungan 50 hingga 55 tahun memilih untuk bersara awal setiap tahun.
    
Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) PDRM, DCP Datuk Shah Gzali Khan Shahadat berkata bilangan tersebut meningkat sejak dua tahun lalu berbanding hanya 500 hingga 800 anggota yang memilih untuk bersara lebih awal sebelum ini.
    
"Kita lihat ini sebagai fenomena baharu dalam polis apabila bilangan anggota yang terdiri daripada pelbagai pangkat memilih untuk bersara lebih awal.
    
"Malah kita akui ia agak merunsingkan kerana kita kehilangan ramai anggota yang mempunyai pengalaman lebih daripada 20 hingga 30 tahun dalam bidang kepolisan," katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Konstabel Sokongan Siri 1/2015 di Pusat Latihan Polis Dungun di sini hari ini.
    
Turut hadir, Ketua Pusat Pengajian Sains, Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab PDRM, SAC Datuk Aziz Ahmad dan Komandan Pulapol Dungun, Supt Mohd Zaini Mat Yusof.
    
Menurutnya antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan bilangan anggota yang bersara lebih awal ialah faktor tugas polis yang penuh dengan tekanan, selain terdapat anggota yang juga melanjutkan pelajaran kemudiannya mendapat tawaran kerja lain.
    
Shah Gzali berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh salah sebuah universiti awam, tugas seorang anggota polis diakui paling mempunyai tekanan yang tinggi berbanding pekerjaan lain.
    
"Berdasarkan bancian dijalankan, tekanan berpunca daripada bekerja siang malam mengekang kejadian jenayah, membuat operasi sana sini.
    
"Apabila berlaku trend bersara lebih awal ini, kita kena latih anggota baharu dan pastinya akan memakan masa bagi mengetahui selok-belok dalam bidang tugas mereka," katanya.
    
Pada majlis tersebut, pelatih Mohd Zaidi Sudin, dari Sibu, Sarawak dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan daripada keseluruhan pelatih seramai 101 orang. - BERNAMA

Share on Myspace