G25: Usaha untuk sisih pengamalan syariat Islam

DATUK DR JOHARI MAT | .

Saya ingin memulakan perbincangan ini dengan melihat beberapa perkara iaitu yang pertama, kita melihat bahawa bajet tahun ini disebut sebagai mensejahterakan kehidupan rakyat yang telah diolah di dalam enam perkara. Kesemua perkara itu telah dihuraikan satu persatu.   

Dalam perbahasan ini saya tidak akan menyentuh semuanya sekali. Akan tetapi saya akan hanya memilih beberapa perkara yang mungkin telah disentuh oleh Senator-Senator sebelum saya dan mungkin juga yang tidak pernah disentuh lagi tetapi telah disebut dalam bajet ini.

Tuan Yang di-Pertua, kita melihat pertama dalam bajet ini disebut cukai GST. Cukai GST ini telah menjadi satu perdebatan yang panjang sehingga ke hari ini belum selesai. Ada pro and con. Ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong. Akan tetapi suatu perkara yang kita lihat bahawa perkara ini tetap berjalan seperti yang telah diputuskan di Dewan ini setelah rang undang-undang itu telah diterima.

Cukai

Saya melihat ada dua perkara yang saya hendak bangkitkan di sini. Pertama ialah kita melihat kita dahulu ada cukai dan ini pun ada cukai. Maksudnya masyarakat kita telah menerima hakikat cukai ini. Namun persepsinya ialah bagaimana pelaksanaan dan kebimbangan yang disebut-sebut ialah barang naik, itu sahaja. Itu yang penting. Jadi apabila berlaku ini maka betulbetul barang itu naik.

Walaupun ada pihak-pihak kerajaan, kementerian berkenaan memberi jaminan bahawa barang tidak naik, tetapi hal yang sebaliknya memang naik, memang terbeban. Ini yang menjadi rungutan kepada masyarakat. Ini satu realiti. Kemudian saya melihat ada yang saya berpendapat bahawa kaedah-kaedah lain. Saya membaca akhbar dan juga dengar perbincangan.

Saya rasa pihak kerajaan juga boleh panggil orang-orang yang memberi pandangan tadi sama ada engage secara peribadi atau bagaimana supaya mereka memberi cadangan bagaimana yang terbaik. Kita tidak mahu membiarkan mereka yang mempunyai kepakaran. Kalau mereka mempunyai kepakaran beri cadangan bagaimana sebenarnya kutipan cukai yang terbaik untuk dilaksanakan di dalam masyarakat dalam melaksanakan kepentingan negara sebagai income yang baik. Jadi saya melihat ada macam-macam golongan di sini. Cuma saya tidak tahu adakah kerajaan telah panggil mereka ini untuk mendengar apa sebenarnya yang mereka boleh cadangkan.

Begitu juga saya melihat ada orang yang berpendidikan dalam ekonomi Islam. Mereka mempunyai saranan-saranan. Saya rasa saranan-saranan ini patut kita dengar daripada mereka bagaimana percukaian yang sepatutnya menurut pandangan mereka dan pendekatan mereka yang mereka utarakan. Saya yakin bahawa kalau mereka benar-benar mempunyai kepakaran di situ, apa salahnya pihak kerajaan memberi perhatian kepada rancangan itu. Mungkin pada peringkat pertama kita boleh buat kajian dan sebagainya.

Hal ini saya melihat seperti perbankan Islam satu ketika dahulu. Mungkin satu perkara baru kepada masyarakat kita orang Islam di Malaysia. Akan tetapi setlah diolah dan kerajaan mengambil alih pandangan itu, maka kerajaan telah membuat satu ketetapan dan menubuhkan Bank Islam, seterusnya takaful dan sebagainya sehingga Bank Islam itu telah menjadi sebuah bank yang terbesar ini negara kita.

Saya melihat perkara ini, kita melihat dari sudut positifnya. Jadi bagi saya kalau sekiranya ada pakar-pakar yang boleh memberi pandangan dan kita tengok pandangan itu dan pihak kerajaan boleh membuat kajian sehingga ia boleh dihasilkan satu olahan yang baik.

Tuan Yang di-Pertua, negara kita merupakan selalu disebut negara Islam sebagai contoh. Saya juga berbangga dengan hal itu. Nama itu Islam. Jadi saya tengok di dalam negara ini ramai pakar yang mempunyai dalam pelbagai bidang yang ada. Saya ingin tahu sejauh mana kepakaran ini digunakan oleh kerajaan terutamanya profesor-profesor yang ada di universiti kita yang ramai dalam pelbagai bidang khasnya dalam bidang mempunyai latar belakang pengajian agama untuk memberi input kepada seluruh perancangan yang akan dirancang oleh kerajaan.

Ini kerana kita telah meletakkan Islam sebagai Maqasid Syariah ada di situ ada konsep al-wasatiyyah. Saya rasa perlu implement, dengan izin, dengan pelaksanaan itu dilaksanakan di dalam negara supaya kita lihat perkara ini dapat dihasilkan bukan sahaja ia sebagai satu istilah atau satu slogan yang dikemukakan tetapi tidak dapat dilaksanakan. Untuk melaksanakan, merealisasikan Maqasid Syariah dalam pentadbiran, maka sudah pastilah golongan-golongan ini pandangan mereka perlu diambil kira dan diletakkan di dalam mana-mana jawatankuasa untuk membantu dan memberi sumbangan dan buah fikiran dalam pelaksanaan syariat Islam dan Maqasid Syariah itu.

Infra kota dengan luar bandar

Tuan Yang di-Pertua, saya melihat juga dalam bajet ini menambah baik infra. Dalam menambah baik infra ini saya melihat tidak seimbang antara infra di kota raya kota besar dengan di luar bandar. Banyak tumpuan kepada dalam bandar. Sebagai contoh seperti Kuala Lumpur, seperti jaringan penyatuan rel, Lebuhraya Damansara-Shah Alam, Sungai Besi-Ulu Klang, dan Lebuhraya Central dan sebagainya. Ini merupakan semua dalam bandar dan kota besar.

Namun saya tengok ada juga di luar bandar dan di bandar-bandar kecil tetapi tidak serancak apa yang ada dalam bandar. Begitu juga kalau kita melihat dan membina penyeraian trafik Jalan Tun Razak diberi RM900 juta. Ini juga dalam bandar. Banyak dalam bandar. Kita tidak menafikan perlunya dalam bandar tetapi biar rasa seimbang dengan di luar. Ini kerana untuk merancakkan ekonomi, negara kita juga kita perlu beri perhatian kepada luar bandar.

Saya melihat jalan-jalan juga diberi peruntukan di luar bandar tetapi saya hendak sebut, jalan di luar bandar ini di luar kota ini kalau Datuk Megat tadi sebut dia niat hendak cakap hari ini semalam sudah turap. Itu kalau bandar. Kalau luar bandar lubang banyak, tambah-tambah hari hujan ini. Musim-musim terakhir ini. Saya datang dari Kota Baharu naik kereta teruklah jalan. Datuk Ong tidak tahu rumah kita mana, dia boleh nanti ikut atas.

Datuk Ng Wang @ Ng Chiang Chin: Saya mahu setuju Yang Berhormat Dato’ Johari cakap itu. Memang dalam bandar jalan memang cantik. Luar bandar memang banyak lubang. Terima kasih.

Dato' Dr. Johari bin Mat: Terima kasih,sebab datang ikut sama. Ini yang saya rasa kita sebagai contoh sahaja, jalan dari Kuala Krai ke Kota Bharu. Jalannya yang berlenggang-lenggok dan tidak sama. Saya rasa kalau mana-mana Ahli-ahli Yang Berhormat yang pergi ke sana, tolonglah lalu jalan itu. Lain dari jalan Terengganu yang baru itu memang cantik. Akan tetapi, walau bagaimanapun kita melihat bahawa jalan-jalan di luar bandar, bukan sahaja saya sebut di sini tetapi juga di lain-lain perlu diberi perhatian kerana untuk merancakkan ekonomi dan juga menaikkan taraf kehidupan masyarakat di luar bandar sama.

Lapangan terbang

Begitu juga saya melihat pembinaan Lapangan Terbang di Mukah dan naik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Bharu hanya diperuntukkan sebanyak RM42 juta. Sejumlah RM42 juta ini hendak buat lapangan terbang sedikit. Sedangkan hendak menyuraikan kalau dibandingkan, inilah saya sebut banding tadi untuk menyuraikan trafik Jalan Tun Razak tidak panjang mana, tetapi RM900 juta. Sedangkan RM42 juta sahaja untuk membina sebuah lapangan terbang di Mukah dan kemudian naik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Bharu. Bagi saya takut tidak mencukupi.

Walaupun saya mengetahui kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan namun saya merasakan lapangan terbang di Kota Bharu, Kuantan dan sebagainya merupakan sebuah lapangan terbang yang sangat berkembang pesat sehingga dikatakan, saya bertanya orang-orang di Kota Bharu bahawa Kota Bharu-Kuala Lumpur, Kota Bharu dan destinasi yang lain lagi ada 40 penerbangan setiap hari.  Ini merupakan sebuah lapangan terbang yang agak sibuk dan banyak penerbangannya pada setiap hari dan saya merasakan ia perlu dipercepatkan dan saya ucap terima kasihlah kerana dalam Bajet 2016 baru ini telah diberi peruntukan.

Namun saya rasa tidak cukup dan perlu dipercepatkan kerana sudah lama, sebenarnya bukan orang Kota Bharu saja, orang Terengganu pun dekat Jerteh itu pergi Kota Baharu, jauh hendak pergi ke Kuala Terengganu. Orang Thailand pun datang sini dan begitulah juga. Saya tengok ada penerbangan terus yang dibuat oleh AirAsia dari Kota Bharu ke Kota Kinabalu dan ke Sabah. Ini merupakan satu perkembangan yang ada sebelum tahun. Ini menunjukkan bahawa- dan begitu juga ada penerbangan langsung ke Singapura. Ramai orang yang menaiki pesawat dari sana, ke Singapura dan juga Sabah dan Sarawak. Ini menunjukkan kepada kita bahawa perkembangan itu perlu diberi perhatian dan apabila kita melihat kehidupan masyarakat, kita perlu memberi perhatian yang serius.  

Penjawat awam

Tuan Yang di-Pertua, saya melihat dalam negara kita ini, dalam bajet ini, dalam buku ini disebut bahawa kita ada 1.6 juta orang penjawat awam. Ramai itu dan kita juga mendengar bahawa dalam bajet ini juga Yang Amat Berhormat mengumumkan penambahan baik kepada 252 skim perkhidmatan.  Akan tetapi kita tidak tahu lagi macam mana skim-skim itu dan kalau boleh nanti dalam jawapan kita hendak dengarlah skim-skim itu yang telah dinaikkan dan ditambah baik dan ini juga akan menggembirakan penjawat awam.

Walaupun kita tidak termasuk di dalam itu, saya rasa anak-anak kita pun ramai dan hendak tahu bagaimana penambahbaikan itu yang telah dicadangkan dan kita rasa ini merupakan satu keadaan yang mereka nanti-nantikan. Kalau boleh, beri jawapan, kalau tidak boleh secara lisan nanti, kita juga hendak melihat secara bertulis.  Begitu juga kita melihat pihak JPA akan menambahkan skim pegawai, selalu memberi perhatian kepada kebajikan pegawai kepada pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan termasuklah guru, doktor dan sebagainya.

Namun banyak lagi golongan-golongan yang mungkin tidak terpandang atau tidak diberi perhatian. Sebagai contoh ialah pegawai sains dan fizik yang ada dalam beberapa di kementerian di dalam negara kita ini dan mereka semacam terabai, terlepas pandang dalam bahasa-bahasa yang boleh kita gunakan. Sedangkan orangorang lain, dalam skim-skim lain seperti guru atau doktor dan sebagainya, mereka apabila sampai kepada satu tahap, mereka akan naik dengan time based dan bagaimana dengan kebajikan golongan-golongan seperti ini?   

Gaji minimum

Saya juga melihat bahawa dalam bajet ini gaji minimum yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan ialah RM1,200 di seluruh negara, menggantikan RM1,000 sebelum ini. Saya melihat perkara ini satu perkembangan walaupun taraf hidup yang semakin meningkat lebih daripada itu tetapi mereka yang akan bekerja mungkin akan berasa lega sikit. Namun saya melihat kenapa dia tidak sama antara gaji minima yang dicadangkan di kumpulan swasta antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Saya tidak tahu orang Sarawak setuju atau tidak setuju.

Saya melihat gaji minima kepada pekerja swasta daripada RM900 kepada RM1,000 di Semenanjung sementara RM800 kepada RM920 di Sabah dan Sarawak termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.    Saya hendak tahu di Dewan yang mulia ini asas perbezaan itu. Adakah barang-barang di Sarawak dan Sabah, Wilayah Persekutuan di sana murah berbanding dengan Semenanjung atau atas perkiraan apa. Jadi saya pun orang tanya, saya pun tidak tahu. Saya tidak boleh hendak jawab, kalau dulu pun orang tanya saya, “Atas perkiraan apa, atas alasan apa”. Saya pun tidak tahu tapi saya kata saya akan bertanya di Dewan ini dan bagi saya jawapan yang akan diberikan di Dewan ini merupakan satu keputusan yang muktamad.   

Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin bertanya tentang penggunaan orang-orang yang mempunyai pendapatan rendah iaitu penggunaan telefon dan komunikasi. Baru-baru ini saya sudah bertanya di Dewan ini kenapa diberi charge 6% kepada pengguna-pengguna telefon prabayar dan pada ketika Yang Berhormat Menteri memberi jawapan kita akan hapuskan itu pada November.  Sekarang ini sudah masuk Disember sudah tapi masih charge lagi.  Kalau saya pergi ke kedai untuk top-up RM10 minta 60 sen, RM20 minta RM1.20. Apakah yang sangat susah ini hendak buat? Apakah yang sebenarnya sedang berlaku?

Pengguna-pengguna telefon ini, rakyat yang kadang-kadang minta duit dengan ibu bapa saja. Budak-budak sekolah, anakanak sekolah, remaja-remaja. Walaupun mereka menggunakan tetapi yang bagi duit itu mak bapa lah.   Jadi rasa terbeban, 60 sen ini besar bagi orang berpendapatan sedikit atau mempunyai pendapatan rendah atau M40 dan sebagainya, besar.

Bagi orang yang mempunyai duit yang banyak, mungkin dia tidak terasa dan ini perkara yang perlu diberi perhatian segera supaya pihak-pihak ini kalau hendak menaikkan cepat tetapi kalau hendak mengurangkan, hendak menurunkan, mengembalikan kepada keadaan biasa sangat lambat. Kalau kita lihat perkara ini, apakah sebenarnya yang sedang berlaku? Apa tindakan kerajaan yang perlu dibuat sehingga mereka, syarikat-syarikat gergasi ini melengah-lengahkan dan yang menjadi masalah atau mangsa ialah rakyat yang hidup dan mempunyai pendapatan yang tidak seberapa.    

Tuan Yang di-Pertua, saya juga mendengar semalam perbahasan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Abdul Rahim dan juga Yang Berhormat Tan Sri Dato’ daripada yang kita sini tentang pencapaian bumiputera. Sejak sekian lama kita mendengar bumiputera adalah tertinggal jauh di belakang dan sampai sekarang pun belum capai apa-apa sasaran yang telah diletakkan.  

Sebenarnya saya ingin tahu apa masalah sedangkan dalam setiap bajet, dalam setiap Rancangan Malaysia selalu disebut dengan olah yang baik dan cantik tetapi di mana keadaan, kedudukan yang menyebabkan tidak dapat mencapai sasaran? Apakah dia masalah sebenarnya? Adakah bumiputera ini sikapnya - kembali kepada sikapnya atau pengurusannya atau apa kerana perkara-perkara seperti ini perlu didedahkan kepada semua pihak supaya mereka dapat berfikir dengan jujur dan ikhlas, supaya masalah-masalah rancangan ini dapat berjalan dengan baik.  

G25

Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, saya nak melihat akhbar hari ini. Akhbar hari ini menyebut bahawa ada satu kumpulan yang disebut sebagai G25. G25 ini adalah tergolong daripada bekas-bekas penjawat awam yang tinggi dalam negara kita yang banyak memberi sumbangan dan juga jasa. Namun dalam hal-hal ini mereka telah memberi kenyataan bahawa ada hukum hakam yang ada dalam Enakmen Jenayah Syariah itu perlu disemak dan kemudian mereka menyatakan bahawa ia bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.  

Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha atau unsur untuk mengetepikan undang-undang syariah yang sedia ada yang telah diluluskan di semua peringkat negeri. Mereka berusaha sedaya upaya untuk menyisihkan pengamalan syariat Islam itu termasuk khalwat dan sebagainya dan dinyatakan bahawa ia adalah bercanggah dengan perlembagaan iaitu kebebasan peribadi.

Saya melihat ada dua, tiga orang Mufti telah memberi pandangan masing-masing yang juga sekali gus memberi nasihat kepada mereka yang terlibat di mana undang-undang itu merupakan satu perkara yang telah diputuskan dan ia bukan boleh semata-mata kita ukur dengan kebebasan yang diambil dari neraca-neraca lain.  

Oleh itu dalam konteks ini saya rasa sepatutnya orang-orang yang bijak pandai ini, mereka membantu untuk memperkukuhkan undang-undang syariat Islam yang sedia ada supaya ia diperkemas dan dipertingkatkan lagi. Hal ini saya rasa semua orang Islam perlu kepada memperkasakan Mahkamah Syariah.

Bagi saya Mahkamah Syariah yang ada sekarang ini perlu diperkasakan bukan untuk dibuang kuasa tetapi perlu diperkasakan supaya umat Islam itu lebih menjaga adab dan terhormat di kalangan sesama kita dan juga di kalangan orang lain.

Enakmen Jenayah Syariah

Oleh itu saya melihat kita di dalam Dewan yang mulia ini dan juga di Dewan Rakyat perlu memikirkan bagaimana untuk memperkasakan Enakmen Jenayah Syariah dan kuasa mahkamah yang lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang.  Apa yang ada sekarang merupakan satu kedudukan yang sangat rendah kalau kita bandingkan dengan mahkamah yang ada sekarang ini.

Oleh sebab itulah saya melihat perlu kita khasnya orang-orang Islam supaya memberi tumpuan dan perhatian supaya kuasa Mahkamah Syariah itu dinaiktarafkan daripada apa yang ada sekarang mengikut sewajarnya. Kita pun tahu bahawa Enakmen Jenayah Syariah ini tidak mengganggu gugat orang yang bukan Islam. Ia hanya untuk orang-orang Islam sahaja.  

Datuk Yahaya bin Mat Ghani: Minta laluan sedikit.  

Dato’ Dr. Johari Bin Mat: Sila.

Datuk Yahaya bin Mat Ghani: Saya nak tanya apa pandangan Yang Berhormat tentang dua statement. Yang pertama, anti hadis ini yang dulu buat statement Kassim namanya. Dia kata, dia mengeluarkan statement bahawa dia mengkritik bulan Haji ini, orang pergi Haji ini bila-bila pun boleh buat. Ini Kassim cakap. Bila-bila boleh buat, tidak termaktub pada bulan yang telah ditetapkan dalam Islam.  Keduanya, semalam saya ada baca satu artikel mengatakan, yang buat statement itu pun pakai baju Bersih, orang Melayu Islam. Khalwat dalam rumah tidak perlu diambil tindakan, maknanya itu kebebasan hak asasi manusia. Kalau nak ambil tindakan, khalwat di luar, tengah padang itu semua boleh diambil tindakan tetapi dalam rumah, berkhalwat dalam rumah tidak boleh ambil tindakan. Apa pandangan ustaz. Terima kasih.

Dato’ Dr. Johari bin Mat: Ada dua persoalan. Yang pertama nak buat Haji bila-bila pun boleh. Ia sebenarnya itulah peraturan, Haji ini bergantung pada tempat dan masa. Tempatnya hanya di Mekah, masanya bulan Zulhijjah. Perkara ini, penentuan ini ditentukan, sebagai orang Islam ditentukan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW mengikut hadisnya.

Oleh sebab kita sebagai orang Islam merupakan orang yang telah terima Al-Quran sebagai sumber perundangan dan juga sumber hukum, hidayah dan Rasulullah SAW sebagai pembimbing, maka kita terima konsep itu dan ini merupakan suatu perkara yang diterima dan tidak perlu dibahas.  Adapun ada orang yang berkata hendak buat bila-bila pun boleh, itu dia guna akal fikiran dia.

Vape

Oleh sebab itu dalam Islam ini ada yang kita boleh berfikir, ada yang kita kena ikut. Yang boleh fikir bagaimana kalau kita sekarang nak berfikirlah ini, kalau sekarang ini orang hisap vape, itu boleh berfikir. Apa hukum. Itu boleh tanya, apa hukum. Ada sebut dalam Al-Quran tak, ada sebut dalam hadis tak, tidak ada. Okey, yang ada ialah Allah SWT melarang orang makan atau minum atau mengguna bahan-bahan yang memabukkan dan beracun. Larang makan bangkai, makan racun dan sebagainya. Jadi dilihat adakah ini boleh membawa kemudaratan atau sebaliknya. Kalau boleh membawa kemudaratan maka apa-apa yang diguna, dimasukkan dalam badan tidak boleh diguna. Rasulullah SAW... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Bermaksud, jangan memberi mudarat kepada diri sendiri dan memudaratkan orang lain.

Saya baca dalam kajian yang terbaru, rokok juga merupakan bahan yang boleh merosakkan kesihatan. Semua orang tahu tetapi yang hisap rokok itu hisap juga, nak buat macam mana. Akan tetapi yang ini lebih lima kali ganda daripada rokok. Rokok pun saya tengok para ulama seluruh dunia tidak bersepakat kata harus, tidak ada yang kata harus tetapi yang berbeza di kalangan mereka antara haram dan makruh. Yang makruh itu zaman-zaman dulu, zaman-zaman teknologi tidak berkembang, dia tidak boleh hendak kaji, tidak tahu apa yang ada dalam inti pati rokok itu.  Setelah mereka mengetahui, maka yang kata makruh itu pun cenderung untuk melarang juga. Ini menunjukkan, yang ini yang boleh difikir, ini yang boleh di ijtihad. Adapun kata sembahyang dua rakaat Subuh, ini tidak perlu di ijtihad. Begitu juga pergi haji masa tertentu, tempat tertentu itu tidak boleh difikirkan.

Khalwat

Oleh sebab itulah ada perkara-perkara yang boleh difikirkan dan ada perkara yang tetap.  Kedua tadi, khalwat. Khalwat ini asalnya ialah bersunyi, kita duduk seorang. Asal kalimah “khalwat” itu ialah “menyendiri”. Orang yang duduk seorang dalam rumah kata berkhalwat tetapi istilah ini telah berubah dan berkembang iaitu orang duduk dua-dua orang menyendiri. Apabila duduk dua-dua orang menyendiri kalau orang tidak tahu tidak apa, kalau orang tahu tidak boleh. Jadi sekarang ini apabila perbuatan itu sebenarnya duduk dua-dua orang di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dilarang menurut agama. Boleh jadi niat kita baik, boleh jadi kita rasa kita tidak buat salah tetapi dilarang.  

Rasulullah menyebut dalam sebuah hadis yang bermaksud, tidak berada berduaan antara lelaki dengan perempuan kecuali syaitan yang ketiga. Orang duduk lelaki dan perempuan ini kalau suami isteri dia tidak boleh duduk lama pun pasal kahwin dah lama tetapi kalau yang baru-baru ni, dia duduk tiga jam, dua jam itu dia rasa baru sekejap. Apakah sebenarnya dorongan?   

Ada imam di Pantai Dalam, dia tengok budak ini duduk berduaan ini start daripada Maghrib sampai pukul 12 malam. Dia cerita pada saya, sampai pukul 12 malam dia pergi tanya, “Dik, tak balik lagi?” “Dia kata baru sekejap duduk”. Sedangkan dia nengok daripada Maghrib tadi sampai pukul 12 malam dia kata baru sekejap saya duduk sini. Baru sekejap Imam”. Sebab apa dia rasa tidak lama?  Sebab dia tidak kahwin dua itu. Sebabnya syaitan ada, kerana itulah syaitan ini tidak bagus. Namun, apabila orang buat baik, dia thank you.   

Ada satu cerita iaitu Nabi Musa a.s., syaitan ini dia berjumpa dengan dia dan syaitan puji dia, “Engkau ini bagus Musa kerana engkau boleh cakap direct dengan Allah SWT. Oleh sebab engkau ini rapat dengan Allah aku hendak minta satu perkara iaitu aku hendak engkau tanya Allah boleh tidak aku hendak bertaubat”.  Nabi Musa kata, “Tidak apa, saya akan tanya”. Diringkaskan, Nabi Musa bertanya Allah, Allah kata, boleh, bila-bila pun taubat boleh. Namun, oleh sebab dia tidak pernah sujud pada Adam a.s yang telah diperintahkan oleh Allah dahulu, maka Allah kata, “Untuk terima taubat kamu, kamu pergi sujud kepada kubur Nabi Allah Adam, walaupun dia sudah mati”.  Sujud hormat, bukan sujud ibadat.   

Nabi Musa menceritakan kepada Iblis dan Iblis kata, terima kasih banyak, thank you- Iblis tidak tahu kata “thank you”, tidak, saya yang buat itu. Terima kasih, terima kasih, Iblis kata, syukran laka. “Terima kasih banyak kerana engkau telah menyampaikan hasrat aku untuk bertaubat dan bertanya Allah dan Allah beri jawapan”.  “Untuk pengetahuan kamu kalau aku semasa dia hidup aku tidak sujud, mati lagi aku tidak sujud”.  Itu jawapan Iblis.   “Namun oleh sebab engkau telah berbuat baik kepada aku, maka aku hendak beritahu kepada kamu.  Yang pertama kalau kamu naik marah, kamu kena ingat aku sedang menggoda kamu. Kalau sekiranya ada wanita dan lelaki berdua-duaan maka percayalah akulah orang ketiga”. Kerana itulah dua orang duduk perempuan lelaki boleh duduk lama itu pasal ada juru kipas.   

Rasuah

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak sambung. Saya terlupa Tuan Yang di-Pertua tanya tadi.  Saya hendak pergi Tuan Yang di-Pertua kepada muka surat 49. Di sini saya melihat memerangi rasuah.  Rasuah ini merupakan barah kepada masyarakat di mana-mana pun sehingga Rasulullah menyebut... [Bercakap dalam bahasa Arab] Allah melaknat kepada orang yang memberi rasuah dan meminta rasuah. Pemberi dan penerima Allah laknat. Orang Islam apabila dia dengar kalimah laknat dia akan tidak buat, dia takut sebab laknat ini tidak berkat. Kalau orang memberi pun tidak berkat begitulah juga penerima pun tidak berkat.   

Jadi, saya melihat negara kita telah membuat bersungguh-sungguh dalam memerangi rasuah ini.  Namun begitu saya melihat masih ada orang-orang yang terlibat. Kenapakah dia berlaku? Banyak sebab yang telah diberikan. Antara lain disebut ingin hidup bergaya lebih daripada kemampuan. Itu antara sebab yang telah diberikan oleh pengkaji-pengkaji dan sebagainya.   

Bagi saya sebab itu mungkin ya mungkin tidak, tetapi sebab yang sebenar yang kukuh ialah kerana ia tidak betul-betul beriman dengan Allah. Kalau dia betul-betul beriman dengan Allah, dia rasa dia takut untuk mengambil wang yang tidak berhak. Di sinilah saya melihat negara maju ini bukan maju daripada segi pendapatan tinggi sahaja tetapi biarlah dia maju dari seluruh aspek. Saya bimbang juga kita selalu dok sebut negara maju, negara maju tetapi kita runtuh dari sudut akhlak.   Kita hendak maju ini, biar tidak maju orang tidak kata kita maju tetapi akhlak mulia.

Oleh sebab itu saya hendak rakamkan satu ucapan terima kasih saya di Dewan ini. Semalam saya tercicir beg duit saya, saya tidak tahu di mana. Saya cari di sini, puas cari tidak jumpa. Apabila saya balik, saya pun pergi buat report polis. Kad pengenalan saya tidak ada, hilang. Tidak ada apa-apa bukti saya sebagai orang Malaysia. Pergi buat report polis dan dapat report polis. Pagi tadi saya tengok WhatsApp bahawa beg saya itu ditemui di Dewan ini.   

Saya Tuan Yang di-Pertua, saya hendak rakam ucapan syabas dan tahniah. Kalau inilah sikap yang telah diberikan, ditunjukkan oleh orang-orang di Dewan Negara ini maka inilah yang kita mahu lihat di mana apabila mereka menemui apa-apa sahaja hak orang lain maka diberi kepada mereka yang bertanggungjawab untuk dikembalikan. Saya ucap syabas dan tahniah dan kepada Tuan Yang di-Pertua juga sebagai pemimpin di sini. 

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Dato’ Dr. Johari bin Mat: Ini yang kita hendak lihat dalam masyarakat kita. Duit saya tidak banyak dalam beg itu, tidak banyak tetapi dokumen saya yang penting. Kad pengenalan di situ, ada sedikit kad-kad yang lain dan juga kad-kad yang saya rasa susah hendak dapat.   

Seorang Ahli: Kad nikah ada?

Dato’ Dr. Johari Bin Mat: Kad nikah pun ada. Itu yang payah hendak dapat itu Tuan Yang di-Pertua. Jadi saya rasa beginilah kita melihat di dalam masyarakat kita, maka saya yakin dan percaya kita akan lebih maju daripada apa yang kita harapkan. Kerana itu banyaknya duit tidak semestinya kita jadi orang yang baik tetapi kita hendak duit banyak orang yang mulia.   

Keselamatan negara

Tuan Yang di-Pertua, begitu juga saya melihat keselamatan yang ada di dalam negara kita ini perlu dipertingkatkan dengan kekuatan-kekuatan yang serba canggih. Saya melihat sempadan-sempadan kita selalu diceroboh oleh pihak-pihak lain. Dalam hubungan ini kalau kita melihat Islam menyuruh kepada setiap umatnya supaya membuat persiapan yang maksimum mungkin untuk mempertahankan negara.   

Allah menyebut dalam al-Quran... [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Hendaklah kamu mempersiapkan diri dengan semaksimum mungkin yang ada pada kamu untuk menggerunkan musuh-musuh kamu yang kamu tahu dan juga musuh-musuh yang kamu tidak tahu”...  [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Dan Allah mengetahui musuh-musuh kamu itu”.   Di sini saya melihat perlu keselamatan dan ketenteraman awam dipertingkatkan dan diberi satu kekuatan yang cukup kepada pasukan keselamatan kita tidak kira polis, askar, tentera laut, darat dan udara mempunyai kekuatan yang canggih semaksimum mungkin supaya... [Membaca sepotong ayat al-Quran] Supaya digeruni oleh musuh Allah dan musuh kamu. Kalau kita tengok bala tentera yang besar orang pun kecut perut kerana itulah kita memberi harapan kita memberi tumpuan yang sebaik mungkin supaya negara kita digeruni dan ditakuti dan juga dihormati.   

Mata wang menurun

Tuan Yang di-Pertua, negara kita sekarang ini daripada segi mata wang kita agak menurun berbanding dengan Dollar Amerika. Ini merupakan satu keluhan. Maka saya melihat di sini satu mekanisme perlu dilihat kembali, bagaimana membantu pelajar-pelajar kita supaya mereka tidak akan terbantut dalam pelajaran mereka. Daripada segi perbelanjaan pun juga, saya ini duduk tidak jauh dari Thailand tetapi tidaklah selalu ke Thailand.

Saya melihat kalau kita pergi ke Golok, orang Kelantan dengan orang Golok ini mereka semacam ‘satu negeri’. Dia tidak pakai pasport pun, tidak ada apa, tanya Datuklah...

Dato’ Boon Som A/L Inong: Rantau Panjang.

Dato’ Dr. Johari Bin Mat: Ya, Rantau Panjang itu. Begitu sahaja pergi. Orang dari sana datang sini, orang dari sini pergi sana. Tidak ada apa-apa. Kalau dahulu mereka hendak Ringgit Malaysia, tetapi sekarang ini kita kalau hendak berbelanja di sana, disuruh tukar dahulu duit dia. Tekanan itu, tekanan secara tidak langsung. Disuruh tukar dahulu duit dia, kemudian baru belanja. Kita ini dipandang apabila kita kuat. Kuat daripada segi personaliti, kuat daripada segi kekayaan dan sebagainya. Apabila kita tidak kuat, orang tidak akan pandang. Ini satu perkara yang sangat penting yang perlu kita pakat-pakat jaga.

Begitulah juga baru-baru ini, saya dengar daripada orang pergi Mekah. Saya pergi bulan enam baru ini, saya tukar duit Malaysia dengan Riyal, dia bagi lagi seratus, seratus lapan Riyal. Baru ini kurang lagi. ini menunjukkan kerajaan perlu membuat, mengambil langkah yang proaktif untuk memperkukuh dan meningkatkan nilai Ringgi Malaysia supaya kedudukan kita terhormat.

Saya rasa walaupun ada orang kata apabila duit kita murah ramai orang datang, orang datang itu baguslah tetapi kita hendak belanja berbanding dengan orang lain. Oleh sebab itulah dengan duit kita turun ini, maka dengan sendirinya barang pun jadi naik. Ini kerana peniaga dia akan beli dengan harga Dolar. Hal-hal inilah yang menjadi keresahan kepada masyarakat di kampung.

Tuan Yang di-Pertua, baru ini saya terbaca dalam akhbar bahawa kita akan bawa orang Bangladesh datang ke sini dalam 1.5 juta masa akan datang. Saya tidak tahu yang baru ini sudah start datang atau belum lagi, saya tidak tahu. Akan tetapi, saya melihat ramai lagi orang kita apabila gaji minima ini naik kepada RM1,000, maka satu usaha perlu dibuat oleh kerajaan dan juga agensi-agensi berkaitan supaya anak-anak muda kita yang mundar-mandir ini, tidak ada kerja ini, supaya diberi galakan supaya mereka bekerja daripada kita mengambil orang luar. Gaji pun sudah naik, yang swasta ini gaji pun sudah naik.

Cuma kita tidak tahu sejauh mana pihak swasta ini meletakkan gaji. Adakah gaji RM1,000 itu lump sum atau gaji itu gaji pokok. Itu pun perlu diteliti oleh pihak kerajaan supaya mereka ini tidak teraniaya. Kita tidak tahu apa yang dilakukan. Saya bertanya, saya pergi ke kedai saya bertanya, “Berapa gaji adik?”, dia kata RM1,000, “RM1,000 pokok kah RM1,000 itu lump sum”, dia kata, RM1,000 itu lump sum. Apakah sebenarnya dasar kerajaan letak? RM1,000 itu atau baru ini RM900, adakah RM900 lump sum atau RM900 gaji pokok? Ini perlu diperjelaskan dan perlu disiasat dan ambil tindakan kepada mereka yang tidak melaksanakan keputusan yang telah diputuskan oleh kerajaan.

Kita sekarang ini kita melihat tahun depan ini gaji minima ialah RM1,000. Adakah RM1,000 itu lump sum ataupun RM1,000 itu gaji pokok? Oleh sebab itulah saya melihat penguat kuasa daripada pihak kerajaan, saya tidak tahu pihak mana, perlu pergi melihat, turun padang dan bertanya.

Saya juga bertanya untuk mendapat jawapan, untuk mendapat respons. Kadang-kadang pekerja ini tidak mahu cakap. Saya pergi masuk kedai, sahaja saya borak kerana saya ini orang nampak orang tua Tuan Yang di-Pertua, saya tanya, “Anak, boleh saya tanya berapa jumlah gaji dapat?”, dia kata RM900, “RM900 itu gaji pokok ataupun gaji lump sum?”, dia kata, banyak yang beritahu saya lump sum. Jadi, hal-hal seperti ini perlu kita lihat secara baik-baik supaya kita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebenar.  

Saya melihat kakitangan penguat kuasa ini, apabila ada satu perkara yang digembargemburkan, baru turun. Kalau tidak, tidak turun. Ini pemerhatian saya. Jadi saya haraplah, kita melihat mekanisme kena meningkat. Kita hendak supaya menjalankan tugas sepanjang masa dengan tidak kira adakah benda itu berlaku atau tidak. Saya juga selalu menonton 999...

Tuan Yang di-Pertua: Panjang lagikah Yang Berhormat?

Dato’ Dr. Johari bin Mat: Tidak banyak sudah, hendak hampir hendak penghujung sudah. Rancangan 999 selalu dipaparkan tentang PATI, penangkapan atau sebagainya. Saya tadi mendengar bahawa PATI ini diberi perlindungan oleh orang kita di Malaysia. Kalau tidak, mereka tidak akan dapat berlindung dan kebanyakannya ialah di tempat-tempat hiburan atau sebagainya. Jadi, sampai bilakah kita dapat menyelesaikan masalah ini? Kedatangan mereka sudahlah kedatangan yang tidak dibenarkan dan duduk di sini, kita tidak dapat hasil. Mereka yang mengaut hasil negara kita. Perkara ini bukan kecil.

Oleh sebab itulah bajet yang dibentangkan di sini, kalau sekiranya perkara-perkara ini tidak diberi pengawasan dan juga pegawai dan kakitangan kita tidak diberi satu anjakan telus, integriti dan sebagainya, maka kita bimbang sebanyak mana pun bajet yang telah diutarakan, ia tidak akan dapat membawa hasil yang baik.

Oleh sebab itu, saya berharaplah semua pihak daripada seluruh rakyat Malaysia, pemimpin dan rakyat, supaya setiap orang merasa bertanggungjawab di hadapan Allah dan juga kemudian di hadapan masyarakat. Kita tidak lagi dapat lari, amalan yang kita lakukan daripada dilihat oleh Allah nanti di akhirat, Dia akan bentang kepada kita nanti dan kita akan melihat amalan-amalan kita dan begitulah juga masyarakat akan lihat. Kalau yang baik, alhamdulillah. Kalau tidak baik, cepat kita selesaikan masalah. Kalau salah dengan Allah, kita bertaubat. Kalau salah dengan orang, kita minta maaf. Sehingga apabila kita memejamkan mata nanti, kita tidak bawa apa-apa kesalahan yang boleh menyusahkan kita pada hari akhirat nanti. - HARAKAHDAILY 10/12/2015

Ucapan Senator Datuk Dr Johari Mat ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbeklan 2016 di Dewan Negara pada 8 Disember 2015.

Share on Myspace