70% mahu tahu bagaimana tarif elektrik ditentukan

PIARAPAKARAN S. | .

PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin menegaskan kepentingan ketelusan dalam struktur tarif elektrik dan harga kos bahan api.

Kos gas asli berpaip ditetapkan pada harga RM 15.20 setiap mmBTU bagi tempoh penetapan tarif elektrik daripada 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2017.

Kini, kerajaan telah memutuskan untuk menaikkan harga gas asli berpaip untuk penjanaan elektrik sebanyak RM 3.00 setiap mmBTU hingga mencapai harga RM 18.20 setiap mmBTU berkuatkuasa 1 Januari 2016. Ini akan menyebabkan kos bahan api tambahan kepada tarif elektrik sebanyak RM 560 juta untuk tempoh 6 bulan (Januari 2016 - jun 2016).

Malangnya, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Suruhanjaya Tenaga tidak menunjukkan apa-apa pecahan komponen kos untuk kedua-dua gas asli berpaip dan gas asli cecair (LNG) sehingga kini.

Apakah Pendapat Rakyat Malaysia Mengenai Tarif Elektrik Dan Harga Bahan Api?

AWER telah menjalankan Kajian Jaminan Tenaga Kebangsaan (National Energy Security Survey-NESS) untuk mewujudkan data asas mengenai isu-isu berkaitan tenaga.

Rangka pensampelan yang digunakan adalah senarai Blok Penghitungan (BP) yang dikemaskini maklumat Tempat Kediaman (TK) daripada Banci Penduduk dan Perumahan 2010. Pensampelan dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Apabila responden ditanya sama ada mereka ingin mengetahui bagaimana tarif elektrik dan harga bahan api ditentukan oleh kerajaan, 69.94% rakyat Malaysia ingin mengetahui bagaimana tarif elektrik dan harga bahan api ditentukan.

Baki 30.06% rakyat Malaysia tidak ingin mengetahui bagaimana tarif elektrik dan harga bahan api ditentukan. Kuala Lumpur merekodkan peratusan tertinggi (87.83%) rakyat Malaysia ingin mengetahui butiran terperinci. Ini diikuti oleh Selangor (85.20%) dan Pulau Pinang (82.89%). Jadual 1 menunjukkan respon peringkat negeri.

Apabila responden ditanya sama ada mereka berpendapat bahawa kerajaan telus dalam menentukan tarif elektrik dan harga bahan api, hanya 26.13% rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan telus dalam menentukan tarif elektrik dan harga bahan api.

Majoriti 73.87% rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan TIDAK telus dalam menentukan tarif elektrik dan harga bahan api. Kuala Lumpur merekodkan peratusan tertinggi (89.47%) rakyat Malaysia yang berpendapat bahawa kerajaan tidak telus dalam menentukan tarif elektrik dan harga bahan api.

Ini diikuti oleh Selangor (88.82%) dan Pulau Pinang (85.53%). Jadual 2 menunjukkan respon peringkat negeri.

Sikap pekak badak KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga berkaitan dengan pecahan kos terperinci gas asli berpaip dan LNG sememangnya diketahui ramai di kalangan pemain-pemain industri.

Berdasarkan data kajian NESS, ia adalah jelas bahawa rakyat Malaysia ingin mendapatkan maklumat lanjut dan ketelusan dalam bagaimana tarif tenaga elektrik dan kos bahan api ditetapkan.

Kami menggesa Ahli-ahli Parlimen untuk menjalankan tugas mereka untuk memastikan KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga telus dalam penentuan tarif tenaga elektrik dan harga bahan api demi kepentingan negara dan rakyat. – HARAKAHDAILY 10/12/2015

 Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Share on Myspace