Pemuda PAS kecam kenyataan Donald Trump

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam kenyataan calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Republikan, Donald Trump yang mahu semua umat Islam diharamkan masuk ke negara ‘Uncle Sam’ tersebut.

"Kenyataan tersebut jelas berbaur hasutan, diskriminasi, prejudis dan menimbulkan sentiman ketakutan terhadap umat Islam di Amerika Syarikat," ujar Timbalan Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Ini, katanya bukan kebebasan ekspresi atau bercakap, tetapi ia dilihat satu provokasi terhadap masyarakat Muslim sedunia.

Tambahan lagi, ujar beliau Donald Trump adalah individu yang berpengaruh dan sedang berkempen untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2016.

"Ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi corak polisi luar khususnya terhadap negara-negara di Timur Tengah," kata beliau dalam satu kenyataan.

Justeru, tegasnya DPPM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan ISIS dan siri-siri pengeboman di Eropah (Paris dan California), namun tindakan negara-negara kuasa besar untuk menghentam umat Islam dan juga Syria adalah tidak bertamadun dan merupakan satu jenayah antarabangsa.

Menurutnya, polisi menghapuskan ISIS sebenarnya turut mengheret umat Islam ke arah penderitaan.

"DPPM mahu sebarang usaha mempotretkan Islam sebagai agama keganasan harus dihentikan," kata Khalil lagi.

Malaysia juga, uja beliau turut didesak agar lebih tegas menyuarakan pendirian bagi mewakili negara-negara umat Islam berhubung tindakan pihak antarabangsa menyerang secara menyeluruh umat Islam khususnya di Syria.

"Ia bukan hanya disasarkan ke atas ISIS, tetapi keseluruhannya," ujar beliau. - HARAKAHDAILY 10/12/2015

Share on Myspace