Kalau dia berkata, dia menyerah kalah itu berita

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Apabila seorang pemimpin tersepit berkata dia tidak akan menyerah kalah, ia bukan berita. Itu adalah reaksi biasa.

"Kalau dia berkata, dia menyerah kalah itu berita," tulis Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin dalam blognya bertajuk Boleh Sokong Tapi Kaji Jugalah Fakta, sebagaimana di bawah.

APABILA seorang pemimpin tersepit berkata dia tidak akan menyerah kalah, ia bukan berita. Itu adalah reaksi biasa.

Kalau dia berkata, dia menyerah kalah itu berita.

Jadi buat masa ini, perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno (PAU), ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua-ketua Umno bahagian bolehlah menyokong dan mempertahankan Presiden mereka, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, hingga ke titisan darah terakhir.

Tetapi sebelum nyawa politik mereka tercabut dan mereka mungkin disumbat ke dalam penjara, eloklah mereka pertimbangkan fakta-fakta berikut:-

Ketika PRU 2013

1. Akibat tsunami Cina (mengguna-pakai istilah ciptaan Mohd Najib sendiri) undi popular Umno/Barisan Nasional jatuh kepada 48 peratus dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

2. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad masih menyokong kepemimpinan Mohd Najib dan turut  berkempen menyokong Umno/BN.

3. Tun Daim Zainuddin juga berkempen tetapi memberi amaran yang jentera pilihan raya BN lemah dan orang bukan Bumiputera, khususnya Cina, tidak menyokong BN.

4. Skandal 1MDB, SRC International/Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan duit derma/sedekah Arab sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib belum terdedah.

5. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan pengguna belum dilaksanakan dan ekonomi berada dalam keadaan yang memuaskan.

6. Tetapi rakyat jelata sudah mula merasa kesan kenaikan kos sara hidup akibat penghapusan berperingkat subsidi mulai era Tun Abdullah Ahmad Badawi.

7. Bagi mengambil hati pengundi, manifesto BN, antara lain, berjanji tidak menaikkan tol lebuh raya malah akan mengurangkannya secara berperingkat.

Menuju PRU 2018

1. Skandal 1MDB, SRC International/KWAP dan duit RM2.6 bilion dalam akaun Mohd Najib telah meledak dan menjadi skandal skala dunia.

2. Dr Mahathir, Daim serta ramai lagi veteran Umno tidak lagi menyokong Mohd Najib malah mahu beliau berhenti.

3. GST yang diperkenalkan April lalu menambah hasil kerajaan tetapi membebankan pengguna. Mohd Najib kata, GST penyelamat kewangan negara. Menang benar. Bagi tahun ini, kerajaan menganggarkan kutipan GST sebanyak RM21 bilion tapi dapat RM27 bilion. Tahun depan dijangka naik kepada RM39 bilion.

4. GST, pemansuhan subsidi, penaikan tol dan tambang pengangkutan awam, kejatuhan nilai ringgit, pengangguran dan kemelesetan harga barangan utama sangat membebankan hidup rakyat jelata.

5. Bala, ujian dan balasan datang bertimpa-timpa – sebuah pesawat MAS hilang entah ke mana dan sebuah lagi ditembak jatuh, banjir besar, gempa bumi maut, jerebu dan macam-macam lagi.

Kesimpulannya, keadaan telah banyak berubah ke arah keburukan selepas PRU.

Jadi, adakah sokongan pengundi terhadap Umno/BN akan bertambah baik pada PRU akan datang berbanding PRU 2013?

Sudah dua PRU – 2008 dan 2013 - sokongan terhadap BN merosot.

Adakah logik mengharapkan sokongan kepada Umno/BN meningkat pada PRU akan datang dengan segala masalah dan bebanan yang berpunca daripada salah urus, penyelewengan dan pembaziran pentadbiran Mohd Najib?

Kalau Umno/BN kalah, tidak syak lagi kerajaan baru akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab mensabotaj ekonomi negara.

Wallahuaklam.

Share on Myspace