PAS berpencak di arus pentas dunia Islam antarabangsa

HARAKAHDAILY | .

Penglibatan PAS dalam isu umat Islam bukan hanya terbatas dalam ruang lingkup nasional sahaja bahkan merentasi global antarabangsa. PAS dikurniakan seorang pimpinan ummah yang berkaliber untuk memimpin gerak Islam di Malaysia.

Kredibilitinya dalam membawa PAS di mata dunia begitu meyakinkan dunia sehingga dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Dunia. Amanah yang diberikan adalah satu penghormatan buat PAS sekaligus membawa PAS ke persada antarabangsa.

Pada Mesyuarat Kesatuan Ulamak Islam Sedunia kali ke-3 yang berlangsung di Doha, Qatar menyaksikan penyertaan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebaris bersama Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi selaku Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

Perhimpunan yang berlangsung selama dua hari ini lebih fokus membincangkan segala gerak kerja dan perancangan menghadapi krisis umat Islam seluruh dunia.

Komitmen PAS dibawa oleh Tuan Guru Presiden yang sentiasa memberikan pandangan dan lontaran idea untuk melihat umat Islam dilindungi daripada kezaliman musuh Islam serta tindakan menjatuhkan Islam pada dunia.

Bersama Tuan Guru Presiden dalam mesyuarat kali ini,  Ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib dan Setiausaha Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Faiz Nawi.

Kesatuan Ulamak Islam Sedunia berperanan membawa suara umat Islam dalam menggerakkan isu umat Islam dunia dalam simposium dengan kerjasama Dewan Asia Persekutuan dan Majlis Penasihat Persatuan Ulama Islam daripada pertubuhan Islam untuk mempertahankan Sheikh Malaysia Yusuf al-Qaradawi.

Tuan Guru Presiden PAS tidak lokek dalam memberikan solusi bersama pimpinan gerakan Islam yang lain untuk berkongsi pandangan.

Hal demikian memberikan impak terbaik kepada dunia kepada seorang pimpinan gerakan Islam Malaysia yang berjiwa besar serta istiqamah dalam perjuangan Islam.

Prihatin dan cakna kepada umat Islam di Palestin, perhimpunan aman di luar bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bagi membantah pencerobohan ke atas rakyat Palestin turut diadakan dengan membawa slogan 'Save Aqsa'.

Sambutan rakyat Malaysia bersama-sama dalam membela nasib umat Islam ini disemarakkan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia di Malaysia bawah kepimpinan Tuan Guru Presiden PAS.

Lakaran sejarah PAS bersama Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dilakar dengan penganjuran Himpunan Perpaduan Ummah di Masjid Rusila, Terengganu.

Kehadiran wakil gerakan Islam seluruh dunia berhimpun di bumi kelahiran tokoh kepimpinan Islam, negeri kelahiran Tuan Guru Presiden.

Keberadaan menimba pengalaman bersama pimpinan gerakan Islam lain mencambahkan pengetahuan realiti yang berlaku di seluruh dunia. Ia juga dapat menyuntik rasa tanggungjawab mengambil bahagian rasa kesedaran nikmat berada dalam gerakan Islam seperti PAS.

Beberapa siri persidangan dan perbincangan akan terus di susun oleh Kesatuan Ulamak Islam Sedunia agar keprihatinan terhadap penindasan umat Islam bukan bermusim bahkan sebaliknya berpanjangan.

Lajnah Antarabangsa Dewan Ulamak PAS Pusat, terus komited dalam usaha menjalinkan hubungan dengan pertubuhan luar negara terutama berkaitan krisis yang melanda umat Islam seluruh dunia.

Beristiqamah Hingga Kemenangan

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib
Ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Ulamak PAS Pusat
11 Disember 2015 bersamaan 29 Safar 1437 - HARAKAHDAILY 11/12/2015

Share on Myspace