Paling selamat ikat hati manusia dengan 'tali Allah'

NASRUDIN HASSAN | .

Sebagai sebuah jamaah Islam yang membawa rahmat kepada semua, PAS tetap berpegang kepada prinsip Islam dan terus beristiqamah untuk memelihara perpaduan ummah berasaskan tali Allah sebagaimana yang ditegaskan oleh Al-Quranul Karim.

Kata orang tua, rambut sama hitam tapi hati tidak serupa. Begitulah manusia ini punya pelbagai watak. Nak satukan mereka tidak mudah. Tidak semudah mengungkap slogan penyatuan.

Manusia tidak boleh diikat dengan wang kerana wang akan susut nilai. Apatah lagi jika ia diikat dengan janji atau syarat lantaran janji boleh jadi palsu dan syarat boleh dilanggar.

Paling selamat dan terjamin apabila hati manusia ini diikat dengan "Tali Allah" iaitu Islam atau Al-Quran sebagai wahyu atau sumber Islam itu sendiri.

Sementara kita semua tahu dan yakin bahawa manusia adalah hasil produk Allah swt. Dialah yang Maha Mencipta. Sehingga kini tiada yang berani tampil mengaku bahawa manusia adalah hasil ciptaan mereka selain Allah Azza wa Jalla. Tentu sahaja Allah swt yang Maha Tahu bagaimana nak satukan hati manusia ini.

Allah swt telah mengisytiharkan pekeliling-Nya bahawa hati manusia hanya boleh diikat kukuh dengan tali-Nya iaitu Islam.

Firman Allah swt:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Aali Imran: 103)

Sebagai wadah gerakan ummah dan platform untuk semua, PAS tetap menghubung silaturrahim dengan semua pihak, saling bantu membantu dalam usaha menegakkan syariat, membuka ruang dialog dan wacana demi kebaikan dan masa depan ummat Islam.

Firman Allah swt:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Surah Al Maaidah: 2)

Kita tahu bahawa musuh Islam mendambakan perpecahan berterusan dalam kalangan ummat Islam. Justeru di atas perpecahan itu, mereka boleh menguasai politik dan ekonomi ummat Islam dan negara ini.

Maka tiada pilihan lain, bahawa menjadi kewajipan besar kepada seluruh ummat Islam agar mengusahakan penyatuan ummah berasaskan "Tali Allah" iaitu pedoman Al-Quranil Kareem.

Hentikan pertelingkahan yang merugikan dan elakkan pertembungan yang melemahkan ummat Islam.

Hindari kemungkaran dalam segenap aspek kehidupan termasuklah kemungkaran dalam sistem pemerintahan yang merangkumi politik, ekonomi dan sosial. Kembalilah kepada paksi Islam yang menjanjikan keadilan, kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Aslim Taslam. (Terima dan Laksanakan Islam, Nescaya Kamu Selamat)

Beristiqamah Hingga Kemenangan - HARAKAHDAILY 11/12/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pusat juga Ahli Parlimen Temerloh.

Share on Myspace