Keputeraan Sultan Selangor: Azmin terima Datuk Seri

BERNAMA | .

SHAH ALAM: Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail mendahului senarai 75 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor bersempena Hari Keputeraan ke-70 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.
    
Syed Anwar yang juga Pengerusi DRB-Hicom Bhd dikurnia Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K.II).
    
Sementara Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali merupakan penerima tunggal Darjah Kelas Pertama - Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) tahun ini yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.
    
Ahli Dewan di-Raja Selangor yang juga Orang Besar Istana Tengku Datuk Paduka Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj dikurnia Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.)(Kelas Pertama) yang membawa gelaran 'Datuk Setia' bagi lelaki dan 'Datin Paduka Setia' bagi wanita.
    
Turut menerima S.S.I.S ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi.   
    
Mendahului senarai lapan penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita ialah Ketua Hakim Syarie Selangor Dr Mohd Na'im Mokhtar.
    
Penerima lain D.P.M.S ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Datuk Nik Shuhaimi Nik Sulaiman, Felo dan Pensyarah Universiti Oxford Datuk Dr Afifi Al-Akiti, Timbalan Dekan Siswazah & Hal Ehwal Antarabangsa, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Zainul Rashid Mohamad Razi, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr S. Balachandran, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Puasa Md Taib, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor Mohd Zaki Ibrahim dan Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd Datuk Seri Mohamed Nazir Abdul Razak.
    
Sebanyak 10 orang menerima Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita.
    
Mereka ialah Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York Raja Reza Raja Zaib Shah Alhaj, Timbalan Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Pertama Ong Thiam Hock, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Norsaadah Ismail, Pakar Pergigian Kesihatan Awam, Bahagian Perancangan, Kementerian Kesihatan Malaysia Datin Dr Nooral Zeila Junid dan Pengarah Jabatan Audit Negara, Negeri Selangor Ang Nai Har.
    
Dekan Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Abdul Jalil Nordin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Mohamad Nasir Ab Latif, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd Datuk Azmi Abdul Aziz, Pengarah MCT Konsortium Bhd Cheah See Yeong dan Pengerusi United Malacca Bhd Tan Siok Choo yang merupakan anak kepada bekas Presiden MCA, mendiang Tun Tan Siew Sin.
    
Sebanyak enam orang menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S.). Mereka ialah Ketua Staf Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM Kapten P.Pulendren, Pengarah Cawangan Kontinjensi Bahagian Rancang Markas Angkatan Bersama, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kolonel Mohamed Nazri Dashah, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Azman Abd Razak, Kontroler Pembangunan Wilayah Tengah, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Azmi Adnan, Setiausaha Dewan di-Raja Selangor Hanafisah Jais dan Pengarah Urusan, Strategi Kumpulan & Pembangunan Korporat, Sunway Group Sarena Cheah Yean Tih.
    
Sementara itu, sebanyak lapan orang menerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) termasuk Pelukis Himpunan Koleksi Spesies Burung di Malaysia Jaafar Taib.
    
Sebanyak 55 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.), 16 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) dan tujuh penerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C). - BERNAMA

Share on Myspace