Kelantan beri ruang lebih luas kepada lulusan agama

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Kelantan memperkasakan lagi pentadbiran awam apabila memberi ruang lebih luas kepada calon-calon pegawai kerajaan dari kalangan lulusan bidang agama.

Bahkan bonus tambahan bagi graduan lulusan hafiz al-Quran untuk mengisi jawatan sebagai pegawai tadbir memandangkan mereka mempunyai prestij yang tinggi dalam masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata kepakaran atau kebolehan dalam bidang agama merupakan kekuatan kepada pegawai baru yang akan dipilih.

“Calon yang ada asas agama yang kuat diberi keutamaan kerana ia selaras dengan dasar kerajaan negeri sekarang,” katanya pada sidang media selepas perasmian program Pemantapan Integriti Dalam Mengurangkan Ketirisan Dalam Sektor Perhutanan Negeri Kelantan 2015 di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Ketua Unit Integriti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Nor Rahim.

Mohd Faudzi juga berkata Jabatan Perhutanan menjadi antara penyumbang utama kepada hasil negeri selain Pejabat Tanah dan Jajahan.

Pada 2016 hasil hutan dianggarkan berjumlah  RM172.96 juta iaitu meningkat sebanyak 29.12 peratus berbanding 2015.

“Dalam usaha mencapai hasrat itu kita perlu komitmen. Perlu mengelakkan berlaku ketirisan hasil hutan.

“Ketirisan yang berlaku biasanya berpunca daripada mereka yang enggan membayar hasil dan cukai.

“Ini salah satu menyebabkan kita menjalankan penguatkuasaan walaupun kekangan dihadapi Jabatan Perhutanan dari segi jumlah kakitangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2015

Share on Myspace