PIDR 2015: Kuasai Data Raya, Kuasai Informasi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persidangan ICT dan Data Raya 2015 (PIDR 2015)  dianjurkan oleh Pertubuhan Jaringan IT Malaysia akan diadakan selama sehari bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada 12 Disember, 2015  bertempat di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Selangor.

Menurut Pengarah program Shuhaimi Embong, selain pendaftaran secara online, mereka yang tidak sempat berbuat demikian boleh mendaftar terus dikaunter berlainan pada hari esok.

Beliau tidak dapat memastikan jumlah sebenar yang akan hadir tetapi sehingga kini sekitar 500 peserta telah mendaftar secara atas talian. Jika berdasarkan pengalaman lepas sambutannya sehingga 700 peserta. Oleh itu, pihak urusetia membuat persiapan awal  bagi memastikan program berjalan lancar.

“Sekretariat program memutuskan untuk membuka kaunter pendaftaran terus kerana Jawatankuasa IT Pusat mencadang pihak Adun turut dibenarkan menghantar pegawai media dan data masing-masing. Jadi mereka akan terus mendaftar di kaunter tersebut,” ujar Shuhaimi.

Dalam perkembangan yang sama, Shuhaimi memaklumkan tiada siaran langsung melalui hijau.fm atau mana-mana tv internet persidangan kali ini.

Antara pembentang ialah Prof Dr Shahrom A. Noh, Dr Rosli Yaakop, Shuhaimi Embong, Timbalan, Dr Hani Ali.

Selain itu Timbalan Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Wan Nik Wan Yusof, akan membentangkan satu kertas bertajuk, “Pengurusan Data Raya untuk Pilihan Raya umum ke-14”.

Sesi perbincangan pada petangnya dikendalikan oleh Zaidy Abdul Talib, Exco Kerajaan Negeri Selangor dijangka melibatkan, Ibrahim Sufian (Pengarah Merdeka Center), Nasarudin Hassan (Ahli Parlimen Temerloh yang juga Ketua Penerangan PAS) dan Datuk Abdullah Che Nawi (Exco Kerajaan Kelantan yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan).

Setiausaha Agong PAS, Datuk Takiyuddin Hassan akan memberikan ucaptama pada sesi sebelah petang dan perasmian penutup dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. – HARAKAHDAILY 11/12/2015

Share on Myspace