PAS tegaskan kepentingan Islam dalam tahaluf siyasi

HARAKAHDAILY | .

BERTALU-talu pula yang bertanya gara-gara ucapan Datuk Seri Najib di Perhimpunan Agung Umno yang katanya ajak PAS bersatu dengan Umno.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudahpun beri respon.

PAS masih ada tahaluf siyasi dgn PKR tegas Tuan Guru Abdul Hadi.

Perubahan dalam seruan Umno untuk menegakkan syariah adalah perkembangan baru yang PAS sudah lebih 60 tahun menyeru ke arah itu.

Tuan Guru Abdul Hadi memberitahu vahawa sebarang pendirian PAS dalam hal sebegini perlukan kepada penelitian semua pemimpin dan ahli serta pandangan ulama dan syura.

Tuan Guru Abdul Hadi beritahu bahawa di situ ada peranan muktamar PAS.

Saya fikir respon awal Tuan Guru Abdul Hadi adalah munasabah dan seimbang. Ia ciri ulama yang memandang jauh ke hadapan serta tidak gopoh.

Ia tidak menutup pintu terkunci rapat sehingga boleh difitnah PAS menolak ajakan menyatukan ummah dan bersama tegak syariah.

Ia juga tidak menunjukkan kita terlalu melayan strategi terdesak Umno mencari dahan untuk berpaut apabila Umno berhadapan kemerosotan dan kehancuran.

Selain itu, ia memberi mesej kepada DAP dan yang berkiblatkan DAP bahawa PAS mempunyai banyak pilihan dalam memastikan cita-cita DAP melemahkan kedudukan dan kepentingan Islam dan kaum Melayu tidak menjadi kenyataan.

DAP kena mencongak kembali formula 'menangguk di air yang keruh' yang sedang mereka rancang melalui PAN dan penyokong-penyokong mereka dalam PKR.

PAS adalah parti yang bertunjangkan perjuangan Islam yang menjadi dasarnya. Ia bukan pragmatisme yang tanpa batasan. Kepentingan Islam, mengatasi soal lain. – HARAKAHDAILY 11/12/2015

AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat

Share on Myspace