PAS mahu ganti Umno di Putrajaya

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

UMNO akan sentiasa sakit dengan PAS jika mereka terus buat salah dan zalim terhadap rakyat. Salah Umno bukan sikit. Banyak. Mengapa Umno banyak buat salah?

Jawabnya, kerana Umno yang memerintah negara. Rosak kehidupan dalam negara hari ini adalah kerana polisi dan arahan daripada Umno. Cuba bagi peluang Umno tak memerintah. Sihatlah Umno.

Umno hanya akan sihat dengan PAS jika mereka laksanakan Islam. Laksanakan Islam maknanya laksanakan keadilan yang menyeluruh. Keadilan tanpa Islam sebagai asas, di sisi umat Islam adalah palsu. Ia bahagia dalam murka Allah. Maka ia palsu sama sekali. Kepalsuan adalah musuh Islam.

Itu hanyalah keadilan cara barat. Ikut cara barat tanpa rujukan kepada Islam adalah ditolak. Biarlah barat laksanakan keadilan cara mereka. Biarlah mereka bahagia cara mereka dan kita bahagia cara kita. Mereka bahagia hidup makan riba, hidup tolak agama, hidup bebas berzina. Hidup membahagiakan diri mereka dengan membunuh manusia lain. Itu cara mereka.

Cara Islam ialah keadilan mengikut acuan al-Quran dan al-Sunnah. Jaga agama rakyat. Jaga nyawa rakyat. Jaga akal rakyat. Jangan maruah dan keturunan rakyat. Jaga harta rakyat. Jaga hak dan kebebasan rakyat. Jaga amanah rakyat.

Umno campur adukkan antara cara agama dan barat sepanjang pemerintahan mereka. Maka mereka sakit dengan PAS dan PAS sakit dengan mereka. Sentiasa berbalah dan bertengkar.

Hari ini Umno ajak PAS kerjasama atas dasar syariah. Jawapan PAS adalah sama; Umno akan sakit dengan PAS jika buat salah dan zalim terhadap rakyat. Umno akan sihat dengan PAS dan 'beroksigen' apabila mereka laksanakan Islam.

Jika itu maksud presiden Umno bahawa ia kerjasama 'atas dasar syariah', maka PAS kekal membantu Umno; Pertama, laksanakan Islam. Kedua, mendorong Umno laksanakan Islam. Ketiga, memaksa Umno menerima Islam secara menyeluruh. Keempat, mencegah Umno buat salah dan zalim. Kelima, bersama Umno perangi kerosakan dalam negara yang bukan daripada Umno.

Orang berkata, Umno akan ambil untung daripada kerjasama ini. Saya jawab, jika Umno laksanakan Islam, tanpa PAS pun Umno boleh buat untung besar. Saya jawab, sejak bila PAS rugi bila Islam semakin kukuh di Malaysia?

Islam bukan pada kata-kata dan janji. Islam adalah pada keikhlasan, kesungguhan dan keberanian. Umno dan PAS terikat dan tergadai pada ketiga-tiga ini. Umno, samalah PAS juga, akan maut disambar hukum sunnah Allah ke atas para munafikin yang memperolok-olokkan agama-NYA. Masa dan hukuman di sisi Allah adalah dekat. Bila-bila masa yang dikehendaki-NYA.

Jika anda kata PAS tak ikhlas, tak bersungguh dan tak berani, anda berhak menghukum PAS.

Cuma saya berhak bertanya, betulkah PAS tak ikhlas, tak bersungguh dan tak berani? Bukankah pecah terserpih PAS kerana ikhlas, bersungguh dan beraninya PAS pertahankan perjuangan Islam yang menjadi nyawa dan nadinya?

Semua 'move' parti-parti politik adalah untuk memperoleh untung dan laba masing-masing melalui sokongan dan undi rakyat. PAS cara PAS. Umno cara Umno.

Ya, jika Umno untung, PAS rugi. Jika PAS untung, Umno rugi. Tapi, jika Islam untung, PAS dan Umno tak rugi. Sepatutnya begitulah. Cuma saya tak tahu jika Umno boleh rasa rugi jika Islam beroleh untung. Umno ini DNAnya tak sama dengan PAS. Melayunya lebih pekat daripada agamanya. Maka kadang-kadang kiraan untung rugi antara PAS dan Umno tak sama.

Rakyat menghukum. Bukan kerja PAS mahukan rakyat undi Umno. Kerja PAS ialah ganti Umno. Undi rakyat hendaklah kepada PAS. Selama-lamanya itulah kemahuan dan kehendak PAS. PAS mahu ganti Umno di Putrajaya.

Hanya yang akan halang PAS ke Putrajaya ialah apabila Umno jadi macam PAS. Berjuang untuk ketuanan Islam.

Mungkinkah? Rakyat dan umat Islam akan menghukum. PAS sentiasa yakin, rakyat Malaysia adalah baik. Hanya yang merosakkannya adalah anasir-anasir buruk yang dibiarkan, bahkan dijaga oleh Umno.

Pintu taubat terbuka seluas jarak antara timur dan barat. Itu keluasan rahmat Allah yang disombongi makhluk bernama manusia.

'Sesungguhnya manusia itu maha zalim dan maha jahil.' – HARAKAHDAILY 11/12/2015

Share on Myspace