Pentas perhimpunan kali ini tidak sama rata - Muhyiddin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Saya juga tidak dibenarkan berucap secara lazimnya dalam perhimpunan ini dan sudah tentu pandangan saya ini tidak dapat disampaikan kepada para perwakilan secara terus," kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, beliau menerusi tulisan dalam laman facebooknya hari ini menyifatkan pentas dalam perhimpunan kali ini tidak sama rata.

Berikut tulisan penuh beliau.

Saya mendengar dengan teliti ucapan dasar Presiden UMNO. Saya menghargai peringatan Presiden bahawa tugas Timbalan Presiden di bawah Perlembagaan UMNO ialah membantu Presiden. Tugas Presiden pula ialah menjaga kesempurnaan parti.

Itulah yang telah saya lakukan selama ini. Sebagai Timbalan Presiden saya telah membantu Presiden menerajui jentera UMNO dan BN dalam pilihanraya umum dan pilihanraya kecil menerusi peranan saya sebagai Pengarah Pilihanraya. Saya juga telah membantu Presiden memastikan kelicinan pengurusan dan pentadbiran UMNO menerusi peranan saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO. Saya juga telah membantu Presiden menangani pelbagai permasalahan parti.

Begitu juga ketika saya menjawat jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi. Amanah membantu Presiden tidak pernah saya abaikan.

Sebagai Timbalan Presiden yang dipilih oleh ahli, saya juga bertanggungjawab kepada parti dan ahli-ahli. Saya banyak mendengar suara akar umbi mengenai pelbagai permasalahan yang berkait dengan kepimpinan parti. Maka tanggungjawab saya ialah untuk memberikan nasihat kepada Presiden supaya mendengar suara ahli-ahli parti di akar umbi dan segera memperbetulkan keadaan. Sebaliknya saya disingkir, disisih malah dihalang daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden.

Saya juga tidak dibenarkan berucap secara lazimnya dalam perhimpunan ini dan sudah tentu pandangan saya ini tidak dapat disampaikan kepada para perwakilan secara terus. Pentas dalam perhimpunan kali ini tidak sama rata.

Dalam Islam kita dituntut supaya patuh dan taat kepada pemimpin. Hal ini disebut oleh Presiden dalam ucapan dasarnya pagi tadi. Pemimpin yang wajib ditaati ialah pemimpin yang taat kepada titah perintah Allah, amanah, jujur, berintegriti dan bersih, serta menjauhi perkara-perkara mungkar.

Saya berharap agar perbahasan yang berlangsung sepanjang perhimpunan agung UMNO pada kali ini, termasuk perbahasan mengenai ucapan dasar Presiden, menyentuh perkara-perkara penting yang dapat menarik semula kepercayaan rakyat kepada UMNO.

Berbahaslah dengan jujur, ikhlas dan benar.

Share on Myspace