Berterima kasihlah kepada Kerajaan Selangor

HARAKAHDAILY | .

Gesaan perwakilan Umno Selangor pada Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung menunjukkan bahawa Umno tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Perwakilan tersebut, Datuk Nasaruddin M Zin telah dilaporkan oleh media menggesa agar Kerajaan Persekutuan tidak lagi membiayai infrastruktur dan pembangunan di Selangor kerana negeri itu tidak dikuasai oleh BN.

Seperti ramai pimpinan Umno yang lain, beliau gagal memahami tanggungjawab Kerajaan Persekutuan terhadap kerajaan negeri.

Beliau lupa menurut Perlembagaan Persekutuan terdapat peruntukan-peruntukan yang wajib diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

Perkara 109 menetapkan Kerajaan Persekutuan hendaklah membuat pemberian tahunan untuk 2 perkara.

Yang pertama adalah pemberian menurut kepala atau jumlah penduduk sepertimana Perkara 109(1)a.

Yang kedua adalah pemberian bagi penyenggaraan jalan sepertimana Perkara 109(1)b.

Nilai-nilai pembayaran tersebut juga dinyatakan dengan jelas pada Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kesepuluh perlembagaan itu.

Di negara-negara lain seperti Australia dan Canada yang mengamalkan sistem kerajaan yang sama seperti Malaysia, Kerajaan Pusat sentiasa menghormati hak-hak kerajaan negeri walaupun Kerajaan Negeri dikuasai oleh parti pembangkang.

Pimpinan Umno mesti memahami bahawa jika pembangunan di Selangor terhenti maka ia akan memberi kesan negatif kepada seluruh negara. Berterima kasihlah kepada Kerajaan Negeri Selangor yang berusaha untuk memastikan pembangunan di negeri yang paling strategik di Malaysia ini berjalan lancar.

Jangan juga lupa lebih 20 peratus KDNK (Keluar Dalam Negara Kasar) negara adalah dari negeri Selangor.

Walaupun gesaan ini dibuat oleh perwakilan dari sebuah negeri namun ia dibuat oleh perwakilan dari negeri yang termaju di negara kita. Maka tidak hairan jika ia juga merupakan pandangan Umno dari negeri-negeri lain.

Gesaan perwakilan Umno Selangor ini menzahirkan sikap sebenar Umno terhadap demokrasi dan kerjasama.

DATUK ISKANDAR A SAMAD
Exco Kerajaan Negeri Selangor - HARAKAHDAILY 12/12/2015

Share on Myspace