Selangor maju, lautan politik tidak berombak

HARAKAHDAILY | .

KLANG: Selangor maju dan akan terus subur ekoran lautan politik tidak berombak walaupun resam demokrasi membenarkan pertukaran kerajaan mentadbir, namun rakyat bersyukur peralihan kuasa mengikut iradat mereka berlaku secara teratur dan aman.

“Kestabilan juga terus kekal kerana perubahan dipayungi institusi Raja-Raja Melayu,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan Sembah Ucapan Taat Setia sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-70 di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Katanya, kesetiaan rakyat kepada raja dan negara juga kekal utuh seperti termasyhur dalam Rukun Negara.

Menurutnya, institusi Raja Berperlembagaan, ibarat pembentung yang membulatkan muafakat rakyat, memayungi Selangor untuk kekal selamat, adil, maju dan makmur.

Adun Bukit Antarabangsa itu menambah, beliau akan memastikan Selangor terus memecut ke hadapan bersaing dengan negeri dan negara lebih maju di rantau ini.

"Gagasan ‘Smart Selangor’ dilakar sebagai visi negeri untuk tempoh tiga tahun akan datang dengan menjamin keadilan rakyat," ujarnya. - HARAKAHDAILY 12/12/2015

Share on Myspace