Piala Malaysia: Kerajaan negeri ucap tahniah, esok cuti

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Selangor kerana berjaya menjuarai Piala Malaysia setelah kemarau selama 10 tahun.

"Misi pasukan bolasepak Selangor untuk memenangi Piala Malaysia bagi kali ke-33 akhirnya menjadi kenyataan," ujar Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Katanya, kedua-dua pasukan, Selangor dan Kedah telah mempamerkan permainan yang bermutu tinggi walaupun dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Beliau menambah, kerajaan negeri menghargai sokongan para penyokong pasukan Gergasi Merah dan Helang Merah yang telah membanjiri Stadium Shah Alam dengan penuh semangat kesukanan.

"DYMM Sultan Selangor telah berkenan setelah saya mendapat nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor untuk mengumumkan cuti peristiwa bagi Negeri Selangor pada hari Isnin, 14 Disember 2015," katanya dalam satu kenyataan.  

Beliau berkata, cuti umum itu juga bertujuan menzahirkan penghargaan kerajaan negeri kepada para penyokong pasukan Gergasi Merah dan seluruh rakyat Selangor yang telah mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negeri itu.

Selangor muncul juara Piala Malaysia setelah menewaskan juara Liga Perdana, Kedah 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kedua-dua gol itu dijaringkan oleh Ahmad Hazwan Bakri pada minit ketiga dan 47 yang turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir itu. - HARAKAHDAILY 13/12/2015

Share on Myspace