Penerbangan lewat penumpang tanggung rugi

JOFRI JARAIEE | .

Perjanjian antara pelanggan dan syarikat perniagaan perlu dikaji semula
 
Apabila penumpang lewat sedikit sampai ke kaunter daftar masuk atau ke dewan perlepasan, mereka tidak dibenar masuk pesawat tetapi apabila pihak syarikat penerbangan lewat atau menangguhkan penerbangan, penumpang hanya disuruh bersabar untuk meneruskan penerbangan seterusnya.

Kalau penumpang yang lewat terpaksa menanggung kos dan membayar semula kos yang lebih untuk mendapatkan pesawat seterusnya akibat kelewatan.
 
Pada 12 Disember 2015, pesawat AirAsia telah menangguhkan penerbangannya dari Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA2) ke Miri.  

Pada mulanya pesawat dijangka berlepas dalam jam 8.30 malam yang sepatutnya berlepas jam 7.35 malam kalau mengikut jadual sebenarnya.  

Selepas satu jam menunggu, tiba-tiba pihak syarikat mengumumkan pesawat tidak dapat berlepas waktu tersebut dan seterusnya akan berangkat dalam jam 9:40 malam. Lebih kurang dalam jam 9.30 malam, penumpang dibenar masuk dalam pesawat, setelah sekian lama menunggu dalam pesawat, tiba-tiba kapten mengumumkan berlaku pertukaran kakitangan pesawat.
 
Oleh sebab berlaku pertukaran kakitangan pesawat menyebabkan sekali lagi penumpung disuruh turun semula dari pesawat untuk ke dewan perlepasan.

Waktu jadual seterusnya ditangguh sehingga waktu 12 tengah malam. Pesawat yang sepatutnya berangkat jam 7.35 malam telah bertangguh lebih dari 4 jam dan berlepas lebih kurang jam 12.15 pagi pada 13 Disember 2015.
 
Sampai di Lapangan Terbang Miri sudah jam lebih kurang 2.50 pagi. Penumpang dari Miri ke KLIA 2 terpaksa menunggu sehingga jam 3 pagi untuk penerbangan seterusnya.

Sampai di KLIA 2 sudah tentu dalam jam 5 pagi lebih kerana mengambil masa penerbangan 2 jam lebih untuk sampai ke destinasi.
 
Disebabkan kelewatan ini bukan saja menyusahkan penumpang terutama penumpang yang membawa anak-anak kecil dan orang tua tetapi mereka yang mempunyai urusan juga terjejas akibat kelewatan penerbangan ini. Ramai penumpang merungut kerana mereka terpaksa menanggung kerugian akibat kelewatan ini
 
Apa yang menyedihkan pihak syarikat penerbangan tidak melayan atau membayar balik kerugian yang terpaksa ditanggung oleh penumpang yang terpaksa membayar kos yang lebih akibat kelewatan tersebut.
 
Di sinilah membuktikan yang perjanjian antara pelanggan dan syarikat penerbangan adalah berat sebelah dan tidak adil terhadap pelanggan atau pengguna.
 
Kita menggesa pihak kerajaan mengkaji semula perjanjian antara syarikat perniagaan dengan pengguna kerana keuntungan hanya berpihak kepada pihak syarikat perniagaan sedangkan yang menanggung kerugian adalah pengguna tanpa dapat menuntut hak mereka sebagai pengguna.
 
Perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak pemerintah kerana kita sebagai pengguna menanggung lebih banyak kerugian kalau dibanding dengan pihak syarikat perniagaan. Bukan saja dengan syarikat penerbangan tetapi juga dengan lain-lain syarikat perniagaan yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira masalah yang dihadapi oleh pelanggan.
 
Kerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ketidakadilan dalam perjanjian ini amat dihargai. - HARAKAHDAILY 13/12/2015

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak juga YangDipertua PAS Miri.

Share on Myspace