Piala Malaysia: Tahniah Selangor 'Misi 33' tercapai

HARAKAHDAILY | .

DACS Selangor merakamkan setinggi tahniah kepada pasukan bola sepak Selangor kerana telah menjuarai Piala Malaysia tahun ini dengan mengalahkan pasukan bola sepak Kedah malam tadi di Stadium Shah Alam dengan jaringan 2-0.

Dua gol jaringan penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri telah membawa pasukannya menggapai "Misi 33" Selangor untuk menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33. Kali terakhir Selangor menjadi juara pada tahun 2005 dengan mengalahkan pasukan Perlis.

Penantian selama 10 tahun berakhir malam tadi apabila sekali lagi Piala Malaysia milik Selangor. Kemenangan ini juga sebagai hadiah istimewa kepada Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan Baginda pada 11 Disember, dua hari lepas.

Keadaan padang agak sedikit teruk malam tadi di Stadium Shah Alam kerana hujan sejak petang hingga ke malam. Ia sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan kedua-dua pasukan di atas padang. Selangor bijak mengambil kesempatan di atas padang becak yang kebetulannya "home ground" kepada mereka.

Selangor telah bersedia dalam pelbagai cuaca untuk bermain di stadium ini. Penjaga gol Selangor, Norazlan Razali sekali lagi beraksi cemerlang malam tadi sambil menafikan rembatan kencang para pemain Kedah. "Ball possession" Selangor agak baik kali ini dengan barisan hadapannya bijak menembusi benteng pertahanan Kedah dengan hantaran-hantaran mudah oleh para pemain sehingga menghasilkan dua gol cantik.

DACS Selangor juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Kedah kerana telah menunjukkan permainan yang baik. Memegang status juara Liga Perdana 2015, berjaya sampai ke final Piala Malaysia adalah satu pencapaian yang cemerlang. Cuma mungkin malam ini Kedah kurang bernasib baik apabila bolos dengan jaringan mudah yang tidak sepatutnya berlaku.

Akhir kalam, DACS Selangor turut mengucapkan tahniah kepada semua penyokong Kedah mahupun Selangor kerana dapat menjaga akhlak masing-masing dan saling hormat-menghormati. Tiada insiden buruk berlaku sepanjang perlawanan berlangsung seperti istilahnya "hooligan", vandalism dan lain-lain. - HARAKAHDAILY 13/12/2015

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor
Dewan Pemuda PAS Selangor

Share on Myspace