Mahu maju? Gunakan bahasa sendiri!

PROF ABDULLAH HASSAN | .

ADA andaian yang mengatakan, oleh sebab orang yang menjadi penjajah kita, iaitu orang Inggeris itu maju, maka kita boleh turut boleh maju dengan meminjam bahasa bekas penjajah tersebut. Bukti sejarah membuktikan sebaliknya.

India telah menggunakan bahasa Inggeris selama 300 tahun, dan Filipina selama 60 tahun. Begitu jugalah beberapa negara Afrika seperti Nigeria, Ghana, Kenya, Uganda. Bahasa Portugis dan Sepanyol pula dipinjam oleh negara-negara Amerika Latin.

Negara-negara ini masih terus menguji andaian ini. Tidak usahkan maju, ada sesetangahnya yang melepasi paras kemiskinan pun belum mampu. (Ada kekecualian, Singapura, sebuah negara kota kecil yang pengurusannya tidak rumit).

Bahasa-bahasa penjajah ini tidak dapat dipelajari oleh semua rakyat, oleh itu ia akan mengepung ilmu sebagaimana bahasa Latin mengepung ilmu. Ilmu yang terkepung tidak memajukan rakyat.

Hanya negara-negara yang menggunakan bahasanya sendiri dapat meruntuhkan kepungan ini dan mencetuskan wabak ilmu. Rakyat yang berilmu itu kemudiannya mengembangkan ekonomi negaranya.

Di samping ilmu, ada satu lagi unsur penting dalam membangunkan eknomi, seterusnya tamadun sesuatu bangsa, iaitu kreativiti. Ada kaitan rapat kreativiti dengan bahasa yang kita gunakan menyampaikan ilmu itu.

Ringkasnya, apabila bahasa pengantar yang kita gunakan ialah bahasa kita sendiri, benak kita akan bebas berfikir dan mencetusan idea kreatif. Tetapi, apabila kita menggunakan bahasa pinjaman, benak kita akan tertawan dalam budaya bahasa tersebut, dan akibatnya kita akan menjadi pengguna produk-produk budaya tersebut.

Mahu maju? Gunakan bahasa sendiri!

Kita usah pergi jauh. Masyarakat Cina di Malaysia degil menggunakan bahasa Cina dalam pendidikannya! Mereka tidak sibuk berpindah ke bahasa Inggeris. Mereka pandai! Mereka menggerakkan ekonomi mereka. Jangan terkejut, aktiviti ekonomi di Batu Caves, Kepong, Jalan Kelang Lama, dan lain-lain, tidak dipacu oleh bahasa Inggeris pun!

Teorinya: Kita mesti memandaikan bangsa, dan rakyat yang pandai itu menggerakkan ekonomi negara. Dan rakyat dapat dipandaikan melalui bahasa ibundanya, bukan bahasa asing.

Bahasa Inggeris hanya memandaikan segolongan elit. Dan kebanyakan mereka hanya bekerja untuk korporasi besar antarabangsa. Pendidikan kita hendaklah memajukan bangsa dan negara.

Gambar dimuat turun dari internet: Wajah kemiskinan di Ghana yang diungkapkan dalam bahasa Inggeris. Mereka mahir berbahasa Inggeris, bagi menyatakan betapa mereka papa. Dan kita yakin betul bahasa Inggeris memberi kita pekerjaan! Andaian tanpa bukti! – HARAKAHDAILY 14/12/2015

Share on Myspace