Wanita Saudi dibenar mengundi buat kali pertama

HARAKAHDAILY | .

Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan syabas kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah mengizinkan golongan wanita untuk mengundi buat kali pertama pada sesi pilihan raya kecil 12 Disember lepas.

Kerajaan Arab Saudi yang terkenal agak konservatif dengan undang-ndang yang ketat terhadap kaum wanita seperti larangan memandu, mengundi, etika berpakaian dan sebagainya kini dilihat tidak mengenepikan peranan wanita dalam isu politik.

Buat kali pertama juga, wanita dibenar menjadi calon dalam pilihan raya majlis tempatan, satu-satunya badan perundangan yang dipilih di negara itu.

Islam telah mengangkat martabat kaum wanita dan mengiktiraf keterlibatan mereka dalam membangun dan mentadbir negara.

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (Al-Nisaa’: 1)

Sesungguhnya, Islam juga telah mengangkat kedudukan wanita sama seperti lelaki pada nilai insani mereka.

Justeru, Dewan Muslimat PAS menyeru agar semua wanita di Malaysia tidak memandang remeh kewajipan mengundi dan tanggungjawab mengambil perhatian terhadap isu semasa tempatan dan dunia.

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
2 Rabiul Awwal 1437H bersamaan 14 Disember 2015 - HARAKAHDAILY 14/12/2015

Share on Myspace