ICYTechs: Langkah awal gagasan negara teknokrat

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN | .

Ahli-ahli akademik atau pengkaji-pengkaji yang mengkaji mengenai pembangunan dan pemerintahan negara akan disediakan medium (platform) untuk membentangkan kajian mereka kepada PAS.

Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengorak langkah ke hadapan apabila meluluskan cadangan ini di dalam mesyuaratnya kelmarin.

Persidangan Antarabangsa Teknokrat Muda (ICYTechs) adalah langkah awal yang akan diaturkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia bagi mencapai hasrat tersebut.

Penyertaannya akan dibuka kepada semua kajian-kajian khusus mengenai pembangunan dan pemerintahan negara serta kajian yang ada kaitan dengan PAS daripada dalam dan luar negara.

Setelah itu, akan dibentuk pasukan khas yang dianggotai oleh pengkaji berkaitan dan beberapa orang pimpinan pemuda PAS, mengikut bidang-bidang kajian yang dibentangkan.

Strategi dan pelan bertindak yang dihasilkan oleh pasukan ini akan dibentangkan kepada pimpinan utama PAS, bagi membantu mereka membangunkan negara teknokrat dan mencadangkan jalan penyelesaian kepada masalah-masalah negara, mengikut acuan tasawur Islam.

Penganjuran ICYTechs ini merupakan wasilah untuk para pengkaji mengemukakan hasil kajian mereka untuk diaplikasikan dalam bentuk plan tindakan pembangunan, yang akan disuarakan kepada pihak pemerintah.

ICYTechs juga secara tidak langsung dapat mengumpulkan kajian-kajian akademik dan menghimpunkan para teknokrat muda untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Amanah pelaksanaan ICYTechs ini diserahkan mandatnya kepada Pengarah Strategi DPPM,  Syahir Sulaiman, dengan dibantu oleh Jabatan Profesional Muda (JPro), Jabatan Pembangunan Graduan (JPG) dan Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) yang akan membentuk pasukan khas dalam masa terdekat.

Persidangan ICYTechs ini juga merupakan tindakan lanjutan daripada wawasan negara teknokrat yang digagaskan oleh Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS baru-baru ini.

Persidangan ini membuktikan bahawa PAS inklusif dan terbuka untuk menerima pandangan-pandangan dan kritikan-kritikan, demi membangunkan negara. - HARAKAHDAILY 14/12/2015

Penulis ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Share on Myspace