Belanja PRU13: Keputusan PKR saman Najib 21 Jan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman yang difailkan oleh PKR terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam mewakili Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata mahkamah sivil atas sifatnya tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan deklarasi yang bersifat jenayah.

"Plaintif mempunyai motif terselindung apabila memfailkan saman ini iaitu melemahkan keputusan pilihan raya umum ke-13.

"Ini jelas menyalahgunakan proses mahkamah dan sesuatu yang mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa yang diperlukan untuk mendengarnya," kata beliau pada prosiding mendengar permohonan Najib dan tiga pihak lain untuk membatalkan saman yang difailkan oleh PKR.

Pada 12 Ogos lepas, PKR memfailkan saman terhadap Najib, setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana dikatakan berbelanja berlebihan dalam kempen PRU13 dan kerana melanggar undang-undang pilihan raya.

Pihak plaintif dalam kes saman itu ialah penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan liwat; Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Anggota Parlimen Batu, Tian Chua; bekas setiausaha agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Gerakan Harapan Baru, Dr Dzulkefly Ahmad.

Mohd Hafarizam, yang juga mewakili Tengku Adnan, berhujah bahawa pihak plaintif tidak mempunyai 'locus standi' untuk memfailkan dan mengekalkan saman tersebut.

"Jika mahkamah ini mendapati bahawa plaintif mempunyai locus standi, saman itu akhirnya akan gagal kerana mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan pengisytgiharan yang dipohon oleh plaintif," kata beliau.

Mohd Hafarizam berkata barang kes yang dikemukakan dalam afidavit plaintif ialah laporan daripada akhbar dan portal berita dalam talian yang hanya sekadar bukti dengar cakap yang deponen secara peribadi tidak tahu tentang kandungannya.

"Afidavit oleh deponen yang secara peribadi tidak tahu tentang pertimbangan yang keputusan itu berdasarkan adalah khabar angin semata-mata dan tidak bernilai sebagai keterangan, dan tiada mahkamah boleh memberi sedikit pertimbangan kepadanya," kata beliau.

Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili 1MDB, berkata dakwaan konspirasi melibatkan Najib, Tengku Adnan dan 1MDB adalah tidak berasas sama sekali oleh plaintif untuk tujuan politik dan maksud yang tersembunyi.

"Siasatan masih diteruskan terhadap 1MDB yang kini dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Jabatan Ketua Audit, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

"Oleh itu, dakwaan plaintif terhadap 1MDB dianggap sebagai mengganggu siasatan yang dijalankan sekarang," katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh yang mewakili SPR, berhujah bahawa writ saman oleh plaintif telah melanggar Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan kerana sepatutnya mereka memfailkan saman melalui petisyen pilihan raya.

Peguam utama plaintif iaitu Tommy Thomas berkata saman itu bukan kes yang nyata dan jelas untuk dibatalkan kerana jauh lebih kompleks dan perlu dibicara.

"Kami menyatakan bahawa ada cukup aduan dalam dakwaan ini yang perlu disiasat untuk perintah lanjutan diarah dikeluarkan oleh mahkamah," kata beliau.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan 21 Jan untuk membuat keputusan. - Bernama

Share on Myspace