Sokongan Melayu, Cina meningkat terhadap PAS?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

WARTAWAN Malaymail online, Boo Su Lyn melaporkan bahawa Pengarah Institut Merdeka Centre, Ibrahim Suffian mendedahkan hasil culaan terbaru tentang mood politik rakyat Malaysia dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan. Meskipun Datuk Saifudin Abdullah enggan mendedahkannya, wartawan tersebut berjaya mendapatkan maklumat tersebut.

Melalui kajian yang dibuat dalam tempoh November dan Disember ini, ternyata sokongan Melayu berbagai latar belakang telah memihak kepada PAS berbanding Umno. Secara keseluruhan, 42% gembira dengan PAS sedangkan Umno hanya 35%. 54% Melayu marah pada Umno manakala kepada PAS hanya 32%.

Data terbaru ini menunjukkan peningkatan ketara sokongan Melayu. Ia dipengaruhi senario politik kebelakangan ini. Ini bermakna segala apa yang berlaku dalam PAS adalah di landasan yang betul. Antaranya ialah keputusan PAS berputus dengan DAP, tersingkir sebahagian besar pimpinan pusat sesi lepas, kesungguhan PAS memperjuangkan agenda syariah, Kongres Rakyat, tidak menyertai Bersih, keterbukaan PAS menasihati kerajaan, dan sebagainya.

Sememangnya pasaran PAS adalah orang melayu. Tiada lagi parti yang mampu mencabar kedudukan Umno selain PAS. Tanpa PAS, mustahil Umno tergugat sepertimana yang diakui strategis PKR sendiri, Rafizi Ramli. Tindakan pimpinan pusat lepas cuba mengubah pasaran PAS kepada bukan Melayu sehingga mengabaikan Melayu, membuatkan sokongan Melayu kepada PAS merudum jatuh dalam PRU13. Ini hanya membuatkan Umno terus selesa untuk berabad lagi.

Lebih mengujakan, sokongan Cina kepada PAS juga meningkat! Berdasarkan PRU13, PAS hanya memperoleh 5% undi TiongHua. Selama ini kita mengandaikan tindakan berputus dengan DAP bakal mengakibatkan PAS kehilangan undi mereka, tetapi dalam kajian Merdeka Centre itu, 34% Cina tidak memarahi PAS.

Peningkatan kepercayaan Cina dipercayai berpunca dari kelemahan DAP mentadbir Pulau Pinang. Pekung kejahatan cauvinis mereka semakin terdedah satu persatu. Kisah kemewahan hidup keluarga Lim dan pimpinan DAP semakin terdedah.

Mungkin juga ketidakpuashatian Cina memuncak apabila parti itu dikuasai kumpulan Kristian dan meminggirkan golongan Buddha, yang sebenarnya menjadi agama majoriti Cina di Malaysia.

Semua data ini bukan untuk dibanggakan. Tetapi sekadar menyuntik semangat dan keyakinan bahawa pilihan yang dibuat para pimpinan kita adalah menepati kehendak rakyat. Oleh itu teruskan bekerja gigih untuk melaksanakan misi-misi baru PAS agar momentum ini dapat diteruskan sehingga kita berjaya menguasai Malaysia.

Suka saya berpesan, terutamanya mereka yang berjawatan tinggi dalam PAS. Apabila kemenangan kelihatan sangat dekat, masa itulah ujian besar akan menimpa. Diharap agar mereka terus isitiqamah wala kepada parti, dan bersama keputusan syura walau bagaimana pahit sekalipun. Jangan diulang peristiwa pemanah bukit Uhud yang memilih untuk mengikut pendapat peribadi hanya kerana kemenangan yang dianggap sudah pasti. – HARAKAHDAILY 15/12/2015

Share on Myspace