SAM, CAP bantah teroka Hutan Simpan Gunung Inas

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah menyiasat dan menghentikan projek perladangan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Inas, Kulim.

Hal ini kerana menurut Presidennya S.M Mohamed Idris kesan daripada projek tersebut boleh mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan pada masa akan datang.
 
"Dalam tinjauan yang dibuat kami mendapati projek yang melibatkan kawasan hutan seluas lebih 30,000 hektar di sini telah menimbulkan keresahan penduduk di 10 buah kampung berhampiran kerana bimbang sumber bekalan air mereka akan terjejas jika projek ini diteruskan.

"Kerja-kerja awal berkaitan projek ini seperti pembinaan jalan keluar masuk lori balak telah dilakukan oleh syarikat berkenaan. Kami kesal sehingga kini tidak ada maklumat yang disampaikan kepada orang ramai khususnya penduduk setempat tentang projek tersebut," katanya kepada Harakahdaily.
 
Antara kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Kepala Titi, Kampung Gelugor, Kampung Kuala Tawar, Kampung Buluh Lemang, Kampung Bukit Rawa, Kampung Lindungan Raja, Kampung Baru, Kampung Desa Teruna, Kampung Sungai Riau dan Kampung Sungai Buluh.
 
Bahkan pihaknya melahirkan kebimbangan dengan pelaksanaan projek tersebut kerana ia melibatkan kawasan tadahan air bagi kegunaan lebih 5,000 penduduk kampung-kampung berkenaan.

Ketika ini terdapat lima kolam takungan air sedang digunakan oleh mereka untuk minum, mandi dan membasuh. Selain itu, hutan ini juga kaya dengan biodiversiti serta terdapat beberapa spesies hidupan liar seperti beruang, harimau, gajah, kijang, rusa dan  burung yang akan turut terancam.
 
"Kami percaya masalah hakisan tanah, mendapan, pencemaran sungai serta banjir kilat akan berlaku jika kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Inas ini diteroka dan dimusnahkan.

"Tiga sungai utama iaitu Sungai Sedim, Sungai Mahang dan Sungai Kerian termasuk berpuluh anak sungai yang terdapat di kawasan ini juga akan tercemar dan diancam mendapan lumpur. Ikan sungai yang menjadi sumber makanan dan pendapatan sampingan penduduk-penduduk kampung di kawasan ini akan mengalami kepupusan," kata beliau.

Difahamkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah sedang menyiasat aduan CAP kepada pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 15/12/2015

Share on Myspace