Tiada kerjasama PAS-Umno di Kelantan - MB

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob menegaskan tiada kerjasama antara parti itu dengan Umno di Kelantan.

Katanya apa yang berlaku sekarang hanya kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

“Tidak berbangkit PAS-Umno bekerjasama. Kita hanya bersama dari aspek perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Bukan setakat hari ini, tetapi sudah lama. Hubungan kerajaan negeri dan pusat memang wujud dalam perlembagaan,” katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) penjawat awam negeri dan penyampaian Sijil Tasawur Islam Siri II di Dewan Teratai hari ini.

Baru-baru ini ketika ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno Datuk Seri Najib Razak dilapor mahu menjalin kerjasama dengan PAS.

Ustaz Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata hubungan antara kerajaan negeri dan pusat bagi manfaat rakyat.

“Bab kerjasama politik hanya Presiden dan pimpinan tertinggi PAS layak bercakap,” ujarnya.

Sebelum ini Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan PAS berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap perpaduan dalam masyarakat berteraskan syariat Allah SWT. – HARAKAHDAILY 15/12/2015

Share on Myspace