PAS Selangor bakal lancar 100 cawangan baru

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Selangor akan melancarkan 100 cawangan baru pada program Semarak Hijau 2.0 yang dijadualkan pada Februari hingga Mei tahun hadapan.

Menurut  Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad 100 cawangan yang bakal dilancarkan itu  adalah termasuk cawangan-cawangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Semarak Hijau 1.0 telah dilancarkan di kawasan Parlimen Sepang pada 3 Oktober lepas dan akan berakhir di Kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan pada bulan Januari hadapan.

Sementara itu katanya, Semarak Hijau 2.0 pula akan dilancarkan di kawasan Parlimen Pandan pada Februari hadapan.

PAS Selangor yakin Semarak Hijau 1.0 dan 2.0 akan menjadikan PAS terus kukuh di Selangor di samping menyumbang tenaga kepada rakyat.

Semarak Hijau adalah program turun padang ke setiap kawasan Parlimen di Selangor yang mana kawasan-kawasan ini akan menganjurkan program khidmat masyarakat seperti gotong-royong, pemeriksaan kesihatan percuma dan ziarah warga emas.

Turut dianjurkan adalah ceramah penerangan, jamuan rakyat, pelbagai pertandingan dan permainan untuk semua peringkat umur dan program-program khusus untuk kaum wanita.

"Semarak Hijau adalah bertujuan untuk merapatkan hubungan di antara pimpinan dan aktivis PAS dengan masyarakat. Ia juga selari dengan tema PAS Selangor "BAKTI UNTUK SEMUA" dan Islam sebagai rahmat untuk sekelian alam," katanya kepada Harakahdaily. – HARAKAHDAILY 15/12/2015

Share on Myspace