Tambak laut: Ambil iktibar kejadian 1990-an

MOHD SABRI SAID | .

BAYAN BARU: Kerajaan Negeri Pulau Pinang patut ambil aktibar kesan tambakan laut di sepanjang pantai Jelutong pertengahan tahun 1990-an dulu kerana telah menjejaskan hasil tangkapan nelayan di situ kata, Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Sekitar PAS Neger Pulau Pinang, saudara Iszuree Ibrahim.

Beliau ketika diminta mengulas cadangan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan menambak pantai dari Batu Maung ke Gertak Sanggul berkata, Kerajaan Negeri wajar memikirkan nasib yang bakal menimpa nelayan pantai daripada mengutamakan projek pembangunan.

Sekarang ini nelayan pantai yang terdiri daripada nelayan Melayu hanya mengharapkan persisiran pantai Batu Maung, Sungai Batu dan Gertak Sanggul untuk mencari rezeki kerana kawasan lain sudah berlaku tambakan laut sejak dari pemerintahan Barisan Nasional (BN).

"Sekarang ini nelayan pantai terus tersepit antara pembangunan yang dilaksanakan. Mereka hanya aktif di bahagian selatan Pulau Pinang berbanding dulu di serata pantai," terangnya.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang berpendapat, nelayan persisiran pantai terus mengalami nasib yang malang kerana kesan penambakan tersebut menjahanamkan eko-pembiakan spesies ikan dalam masa yang panjang.

Justeru, sambungnya, bagi menyelamatkan keadaan nelayan persisiran pantai khususnya, lebih baik Kerajaan Negeri yang menjadi harapan rakyat membatalkan hasrat berkenaan.

"Lajnah Alam Sekitar PAS Negeri menyokong bantahan yang dibangkitkan oleh para nelayan baru-baru ini kerana penghidupan mereka akan lebih terancam ekoran tindakan penambakan laut kelak," jelasnya.

Sebelum ini, puluhan nelayan pantai berkumpul secara aman di Pengkalan Nelayan Sungai Batu untuk menunjukan bantahan serta mendesak Kerajaan Negeri membatalkan cadangan penambakan laut yang dijadualkan beberapa bulan lagi. – HARAKAHDAILY 16/12/2015

Share on Myspace