Mengenang pengasas PAS Terengganu TG Haji Bidin

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .

SEMALAM saya berkuliah di Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Dungun. Di sini serba ringkas kisah Tuan Guru yang merupakan pengasas PAS di Terengganu. Semoga Allah merahmati Tuan Guru.

Tuan Guru Haji Bidin: Pengasas PAS Terengganu

Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus.

Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun.

Setelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu. Dua tahun di pondok ini, pada 1914, Haji Bidin berpindah ke Kelantan kerana tertarik dengan kemasyhuran Tok Kenali. Beliau sempat berguru dengan Tok Kenali di Pondok Kenali sehingga 1926. Beliau sempat belajar bersama-sama Sheikh Idris Marbawi dan Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Mursyidul Am PAS, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz).

Di samping itu, beliau berulang-alik ke Masjid Muhammadi kerana berguru dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Yaakub Legor. Di Pondok Kenali ini, Haji Bidin telah menjadi kepala telaah dan sempat mengajar Mufti Haji Ahmad Maher selama enam tahun. Pengajian beliau tamat pada 1926 kerana Tok Kenali menyuruh beliau balik ke Dungun membuka pondok.

Selepas beberapa ketika mengembara, sekitar 1927, Haji Bidin mula mengajar dan membuka pondok di Hulu Sungai Penaga. Ketika yang sama beliau telah dilantik menjadi Imam Muda Masjid Kampung Tengah, Kuala Dungun. Ketika menjadi imam di sini, Haji Bidin telah berhadapan dengan beberapa masalah amalan khurafat dan ajaran sesat, tetapi berkat usaha gigihnya, beliau berjaya mengatasi masalah ini.

Tujuh tahun kemudian, Haji Bidin telah membuka pondok baru di satu kawasan yang dikenali sebagai Tanah Lot. Pada 1938, sebuah madrasah telah berjaya disiapkan sebagai tempat pengajian. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai imam di Kampung Tengah sehingga 1951.

Selepas bersara sebagai imam, Haji Bidin sekali lagi memindahkan pondoknya ke Sura Gate, dan mendirikan pusat pengajian yang dikenali sebagai Madrasah az-Zainiyah yang suraunya masih wujud hingga hari ini.

Haji Bidin mengajar beberapa cabang ilmu yang penting dalam pengajian Islam seperti fiqh, hadis, nahu, tafsir, balaghah, mantiq dan lain-lain. Antara kitab yang diajar oleh beliau ialah Matan Ajrumiah, Azhari, Qatr, Syuzuz al-Zahab, Ibnu Aqil, Asymuni, Sittin, Fathul Muin, Tahrir, Mahalli, Iqna, Fathul Wahab, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Ibni Ibad, Iqaz al-Himam, Jauhar al-Mauhub, Siyarus Salikin dan lain-lain.

Beliau juga berjaya melahirkan ramai murid yang terkenal termasuk Ustaz Omar Shukri Embong (bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun yang juga pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Haji Bidin, selain terkenal kerana alim dalam bidang agama dan menjadi imam di masjid, turut dihormati kerana memiliki keramat tertentu. Banyak cerita yang diriwayatkan tentang keramat yang dimiliki oleh beliau, antaranya tidak ditimpa hujan ketika menaiki perahu bersama kitab-kitabnya walau hujan sedang lebat.

Pernah juga berlaku percubaan melanggar beliau dengan kereta, tetapi niat jahat itu terhalang kerana enjin kereta tersebut mati dan ia hanya boleh dihidupkan setelah orang tersebut memohon maaf kepadanya.

Beliau juga dikatakan boleh mengangkat kayu besar seorang diri. Cerita-cerita kekeramatan beliau ini telah menyebabkan beliau amat disegani oleh masyarakat di Dungun. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang warak, lemah lembut, tidak pemarah dan tidak suka bercakap banyak. Beliau dikatakan mengikut perangai Tok Kenali.

Kerana gurunya seorang yang minat politik, Haji Bidin turut mewarisi minat ini di mana beliau semenjak di Kenali lagi sudah mula menulis dalam akhbar Majlis. Beliau tertarik dengan perkembangan politik di Istanbul tetapi keras menolak fahaman sekular yang dibawa oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Sejak muda, kecenderungan beliau adalah politik Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Tetapi pada peringkat awal, beliau menyokong Umno untuk menghalau British, bahkan turut berkempen dalam pilihan raya 1954 untuk menyokong Ustaz Mohd Taib Sabri menentang calon Parti Negara.

Tetapi pada 1956, setelah PAS mulai berkembang, Haji Bidin bersetuju dengan gagasan politik yang dibawa oleh Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, Datuk Mohd Asri Muda.

Atas usaha gigih beliau mengumpulkan pemuda-pemuda yang berminat dengan politik Islam, maka satu perjumpaan diadakan di suraunya di Sura Gate.

Hasilnya, PAS Cawangan Dungun berjaya ditubuhkan sebagai cawangan pertama di Terengganu. Haji Bidin diberikan amanah sebagai Yang Dipertua PAS Dungun untuk satu tempoh yang lama. Beliau melepaskan jawatannya pada 1971 kerana uzur, tetapi terus komited dengan perjuangan PAS.

Enam tahun kemudian, iaitu ketika muridnya yang juga anak saudaranya, Ustaz Abdul Wahab Yunus sedang memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Haji Bidin telah jatuh sakit dan meninggal dunia di rumah anaknya, Haji Anuar di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau meninggal dunia dalam bulan Ramadan pada 20 Ogos 1977 dan dikebumikan di perkuburan Syed Yahya, Dungun. – HARAKAHDAILY 15/12/2015

Share on Myspace