Rasionalkah SPAD susun semula bas Lembah Klang?

DR MOHD IBRAHIM | .

Bermula 1 Disember lalu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah melakukan rombakan dan penyusunan semula ke atas laluan perkhidmatan bas henti-henti di ibu kota dengan harapan segala masalah yang ada sebelum ini dapat diselesaikan. Sebaliknya berlaku ialah ia lebih menyukarkan lagi para pengguna apabila beberapa masalah baru lain timbul dan masalah lama juga tidak berjaya diatasi.

Lebih mengejutkan apabila Datuk Seri Liow Tiong Lai selaku Menteri Pengangkutan tidak mengetahui berkenaan penyusunan semula tersebut lalu jelas menimbulkan sedikit kekeliruan serta menampakkan seolah-olah ada kelemahan komunikasi, penyelarasan bidang kuasa dan pengurusan diantara kedua-dua pihak yang berkuasa dalam menguruskan sistem pengangkutan di negara ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpendapat wujud pertindihan kuasa dan tugasan antara kedua-duanya yang menyebabkan berlakunya keadaan seperti sekarang. Pertembungan ini menyukarkan lagi keadaan untuk melaksanakan kaedah pengurusan yang sempurna demi mewujudkan sistem dan jaringan pengangkutan yang lebih baik di Lembah Klang untuk manfaat dan faedah kepada warga kota.

DPPM melahirkan rasa kebimbangan berikutan rungutan warga kota terhadap sistem baru yang dilaksanakan ini. Bagi kebanyakkan mereka, ia tidak mengubah tahap kecekapan sistem tersebut serta persepsi mereka terhadap perkhidmatan bas di Lembah Klang. Walaupun diwujudkan 8 koridor dan pengurangan masa menunggu untuk memudahkan pengguna, hakikat sebenarnya tidak mengubah apa-apa.

Berikut adalah antara rungutan-rungutan oleh warga kota yang disampaikan kepada DPPM:

(i) Tambang yang tidak selaras diantara syarikat bas yang terbabit walaupun laluannya sama di antara syarikat lama dengan yang baru mengambil alih laluan tersebut.

(ii) Laluan yang telah ditamatkan menimbulkan kesulitan kepada pengguna yang mengharapkan pengangkutan awam.

(iii) Pengurangan kekerapan bas pada sesetengah kawasan akibat daripada penyusunan semula perkhidmatan menambahkan lagi kesulitan pengguna terutama di waktu puncak.

(iv) Laluan yang ditinggalkan Rapid KL tidak diselia serta diselenggara dengan baik oleh syarikat bas lain yang diberi tanggungjawab.

(v) Laluan yang sebelum ini hanya diperlukan satu bas sahaja untuk sampai ke destinasi, sekarang memerlukan lebih dari satu bas untuk sampai ke destinasi yang sama.

(vi) Masa menunggu yang lebih lama serta perjalanan ke destinasi tujuan menjadi lebih jauh berbanding sebelumnya.

(vii) Akibat daripada kekurangan kekerapan terutama di waktu puncak, kapasiti pengguna yang memerlukan perkhidmatan bas adalah tinggi, menyebabkan bas senantiasa penuh, melambatkan pergerakan penumpang sampai dari satu destinasi ke destinasi yang lain.

(viii) Tiada penyeragaman serta pemantauan kaedah pembayaran tambang atau sistem pembayaran tambang bas seperti penggunaan kad Touch & Go dan kadar penetapan tambang bagi setiap laluan oleh pihak berwajib bagi memantau harga yang dikenakan kepada pengguna terutamanya bagi bas selain Rapid KL.

(ix) Bas yang disediakan oleh syarikat bas selain Rapid KL tidak memuaskan malah ada sesetengah bas boleh dikatakan tidak menepati ciri-ciri keselamatan dan berkeadaan sangat daif, tidak menepati standard taraf pengangkutan awam untuk sebuah ibu negara.

DPPM tidak mahu tindakan baru yang dilaksanakan ini yang disifatkan sebagai pembaharuan atau penyeragaman hanyalah kosmetik semata-mata sedangkan hakikatnya tidak membawa apa-apa perubahan sebenar. Sesebuah ibu kota seharusnya mempunyai sistem pengangkutan yang cekap, efisyen, mesra pengguna dan selamat agar pertumbuhan ekonomi dan produktiviti setimpal dengan tarafnya sebagai sebuah ibu kota. Ketidakcekapan sistem pengangkutan akan merencatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi yang mampu merugikan negara dalam jangka masa panjang.

DPPM menggesa Kerajaan supaya mewujudkan pemisahan bidang kuasa diantara kedua-dua pihak yang diberi tugas mengawal selia industri pengangkutan ini supaya pengurusan sektor ini menjadi lebih efisyen, cekap, berdaya saing dan selamat. Pertindihan bidang kuasa hanya akan menambah karenah birokrasi dan persaingan tidak sihat di antara agensi Kerajaan yang akhirnya merugikan negara dan rakyat. Jika benar impian Kerajaan ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju, perubahan perlu bermula dari sekarang. Kita tidak mahu tindakan hanya bermusim, yang sengsara tetap rakyat marhaen. - HARAKAHDAILY 16/12/2015

Penulis ialahPengarah Jabatan Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar DPPM.

Share on Myspace