PT3: 10 sekolah Yik 100 peratus

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sepuluh sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) mendapat pencapaian 100 peratus dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2015.

Sekolah terbabit iaitu Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi, Maahad Tahfiz Sains Bustanul Ariffin, Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Maahad Muhammadi Perempuan, Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Pasir Pekan.

Selain itu Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Al Kauthar Peringat, SMU (A) Arabiah Ternang dan SMU (A) Marziah Jabo.   

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata seramai 6,105 pelajar sekolah agama di bawah Yik menduduki peperiksaan tersebut.

Katanya pencapaian 11A bagi pelajar sekolah agama kerajaan negeri seramai 127 orang, sekolah agama bantuan kerajaan (3 orang) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seorang.

“Sekolah yang paling banyak mendapat 11A iaitu Maahad Muhammadi Perempuan seramai 46 pelajar, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah 37 pelajar dan Maahad Muhammadi Tumpat 10 pelajar,” katanya di sini.

Pencapaian bagi sekolah agama kerajaan negeri sebanyak 91.20 peratus, sekolah bantuan kerajaan negeri 69.13 peratus dan SABK 99.67 peratus.

Dr Muhamed Fadzli berkata, pencapaian PT3 sekolah agama Yik tahun ini meningkat berbanding tahun lepas.   

Katanya juga pelajar sekolah Yik yang mendapat 10 seramai 175 orang, 9A (224 orang), 8A (270 orang), 7A (374 orang), 6A (397 orang) dan 5A (460 orang).

“Oleh itu saya merakamkan ucapan tahniah kepada Yik, ibu bapa dan pelajar di atas kejayaan peperiksaan PT3 tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2015

Share on Myspace