AKSB elak gangguan bekalan air di musim bah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan memastikan tidak berlaku gangguan bekalan air bersih kepada pengguna sekiranya banjir sekali lagi melanda tahun ini.

Sehubungan itu beberapa langkah diambil AKSB  terutamanya di jajahan yang terlibat banjir termasuk Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Datuk Hanifa Ahmad berkata beberapa langkah diambil bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan air di musim banjir.

Katanya, AKSB membaik pulih sepenuhnya sistem operasi di loji yang tergendala akibat banjir akhir tahun lepas berkaitan sistem eletrikal, mekanikal dan juga kerja-kerja sivil.

“Di Pasir Mas paip yang rosak telah ditukarkan dan dijangka siap sepenuhnya minggu ketiga Disember ini.

“Kerja-kerja baik pulih di Pasir Mas melibatkan loji dan paip agihan membabitkan kos hampir RM5.9 juta,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Beliau juga berkata AKSB mengadakan kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyediakan janakuasa eletrik terutama di kawasan banjir.

Katanya juga AKSB turut menyertai perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani operator bekalan air bagi menangani krisis bekalan air yang diterajui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). - HARAKAHDAILY 16/12/2015

Share on Myspace