Kelantan larang jual vape mulai awal 2016

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kelantan mengharamkan penjualan vape berkuatkuasa 1 Januari 2016 selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan, polis dan Jabatan Mufti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata keseluruhan pandangan mereka diambil kira sebelum keputusan dibuat.

Katanya kerajaan negeri tidak membuat pandangan sendiri berhubung penjualan vape di negeri tersebut.

Oleh itu kata beliau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarah tidak mengeluarkan lesen kepada peniaga vape di tempat masing-masing.

“PBT akan mengeluarkan notis selama 14 hari kepada peniaga vape untuk mengosongkan premis mereka bermula hari ini.

“Kerajaan akan mengambil tindakan sekiranya ada premis gagal berbuat demikian termasuk kemungkinan disita selepas 1 Januari ini,” katanya selepas di Kota Darulnaim hari ini.

Menurutnya juga sebelum ini ada beberapa PBT mengeluarkan lesen di bawah penjualan elektronik dan pelbagai iaitu Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam, Majlis Daerah Gua Musang, Majlis Daerah Pasir Mas dan Majlis Daerah Tanah Merah.

“Bagaimanapun MPKB-BRI langsung tidak mengeluarkan sebarang lesen seumpama itu apa lagi untuk penjualan vape,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/12/2015

Share on Myspace