2016: Enam megatren utama di Malaysia

HARAKAHDAILY | .

YANG benar tidak terikat dengan waktu” – Hamka

Kita hidup di dunia yang sentiasa berubah, dan perubahan berlalu begitu pantas tanpa kita sedari.

Megatren, yang boleh ditakrifkan sebagai “large, transformative global forces that define the future by having a far-reaching impact on business, economies, societies, and individuals” (Earnst & Young), merupakan unjuran tren masa hadapan yang mampu memberi kesan dalam bentuk menggugat (disruptive) atau mengubah (reshaping) corak kehidupan setiap organisasi dan individu dalam keadaan yang tidak disangka.

Malaysia pastinya tidak terkecuali daripada arus perubahan global ini, dan enam megatren yang dijangka akan memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang adalah peranan media sosial, kadar urbanisasi, daya keusahawanan, kos sara hidup, ancaman kedaulatan, dan kesedaran rakyat.

1. Peranan media sosial. Frost & Sullivan menjangkakan pengguna media sosial di Malaysia akan bertambah dua kali ganda kepada 25.6 juta menjelang 2020, dengan penghubungan 125 juta gajet mudah-alih menjelang 2025, di mana 95% daripada netizen adalah pengguna aktif media sosial.

Tren evolusi digital ini akan menyaksikan peningkatan aplikasi media sosial, big data, cloud-computing, crowd-sourcing, crowd-funding dan seumpamanya, di samping mengundang cabaran baru dalam bentuk persaingan, transparensi dan keselamatan siber, yang pastinya memberi potensi besar kepada sektor ekonomi serta corak sosial dan politik di Malaysia, khususnya di kalangan gen-Y.

2. Kadar urbanisasi. Kadar urbanisasi Malaysia dijangka akan mencecah 75% pada tahun 2020 dan terus meningkat kepada 80% menjelang tahun 2030 (RMK11). Kewujudan golongan menengah yang besar dalam kawasan konurbasi ini (Lembah Klang, Georgetown, Johor Bahru, Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu) bakal menyediakan pasaran barangan dan pekerjaan yang lebih luas.

Di samping itu, segmen penting ini akan membentuk pola kecenderungan politik yang baru mengikut tahap pendidikan dan sosio-ekonomi mereka, manakala segmen luar bandar akan turut mendapat tempias bergantung kepada tahap jaringan infrastruktur dan hubungan bandar – luar bandar.

3. Daya keusahawanan. Teknologi mengubah cara manusia bekerja, dan turut mengubah daya kreativiti dan inovasi yang melahirkan golongan usahawan generasi baru. Di seluruh dunia, wajah usahawan juga semakin berubah, dengan lebih ramai anak muda dan wanita menceburi bidang penuh risiko ini.

Akses kepada bimbingan dan dana merupakan penghalang utama kepada usahawan, dan insentif yang disediakan pihak kerajaan dan swasta perlu diperluaskan bagi mewjudkan ekosistem yang mesra usahawan muda, supaya bidang ini dapat menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan menjadi kerjaya pilihan generasi muda.

4. Kos sara hidup. Tahun 2016 bakal menyaksikan peningkatan harga hampir setiap barangan dan perkhidmatan. Kutipan GST dianggarkan berjumlah RM27 bilion pada tahun 2015 dan akan mencecah RM39 bilion pada 2016, yang disumbangkan secara terus oleh poket rakyat.

Subsidi pula akan dikurangkan daripada RM39 bilion pada 2014 kepada RM26 bilion pada 2016, menyumbang kepada kenaikan harga petrol, diesel, gula, minyak masak, tarif elektrik, kadar tol, tambang pengangkutan awam dan sebagainya.

Sebagai imbuhan, jumlah bantuan BR1M dinaikkan pada 2016 dengan peruntukan RM5.9 bilion, yang akan memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang.

Secara tidak langsung, peningkatan harga rumah dan kereta, di samping kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, akan menyumbang kepada kenaikan kadar hutang isi rumah Malaysia yang telah mencecah 88% KDNK (RM940 bilion), antara yang tertinggi di rantau ini, berbanding hanya 16% KDNK (RM70 bilion) pada 1998.

5. Ancaman kedaulatan. Pasca 2020, Malaysia akan kekal sebagai sebuah ekonomi terbuka dan lebih berintegrasi dengan ekonomi serantau dan global. Pertumbuhan ekonomi global akan dipacu oleh kemunculan kuasa ekonomi baru, dan pusat perdagangan dunia dijangka beralih ke rantau Asia Pasifik.

Perjanjian TPPA yang akan disertai oleh Malaysia bukan sahaja bakal membentuk blok ekonomi terpenting di rantau ini, malah turut memberi impak kepada geopolitik dan kedaulatan negara, dan dilihat lebih menguntungkan syarikat multinasional gergasi berbanding nasib yang bakal menimpa industri kecil dan sederhana dalam negara.

Di samping itu, konflik pertindihan wilayah di Laut China Selatan yang melibatkan tuntutan Malaysia, Brunei, Filipina, Vietnam dan China terhadap Kepulauan Spratlys dan Paracels, bakal menggugat kestabilan diplomatik di rantau ini, dengan China dilihat semakin agresif dalam tuntutan wilayah tersebut dan Amerika mula mencampuri urusan ketenteraan di rantau ini, meletakkan Malaysia di kedudukan yang sangat rumit dan perlu ditangani dengan cermat.

6. Kesedaran rakyat. Pasca PRU13, Malaysia menyaksikan gelombang kesedaran rakyat yang tinggi terhadap politik negara, khususnya apabila pembangkang berjaya menafikan penguasaan undi popular yang diperolehi BN apabila memenangi 52% daripada keseluruhan undi yang diterima berbanding BN yang hanya menerima 48% undi.

Momentum kebangkitan rakyat untuk melakukan perubahan, khususnya di kalangan generasi muda pasca-merdeka dan pasca-reformasi, dilihat lebih menekankan aspek kelangsungan hidup dan integriti kerajaan, dan memilih untuk menyuarakan kritikan di dunia siber dan media sosial.

Kajian persepsi yang dijalankan pihak UMCEDEL dan Merdeka Centre sejak PRU13 menyerlahkan hipotesis bahawa populariti kerajaan berada di tahap terendah, namun penerimaan terhadap pembangkang sebagai alternatif masih di tahap yang belum meyakinkan, khususnya dalam menilai ‘kejujuran’ setiap parti politik untuk memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat, menjelang PRU14 yang bakal berlangsung sebelum Malaysia menempuh realiti Wawasan 2020.

Dalam merencana fasa perubahan ini, kita bakal berhadapan dengan cabaran baharu yang perlu diharungi, peluang baharu untuk diterokai dan ufuk baharu untuk dijelajahi. Malaysia perlu kekal progresif dan inklusif, selaras dengan aspirasi rakyat yang mengharapkan sebuah kehidupan yang lebih sejahtera.

2016, fajar untuk negara berkebajikan, insya-Allah.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM – HARAKAHDAILY 17/12/2015

Share on Myspace