Brunei sedia pendidikan, kesihatan percuma kepada rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Menyediakan pendidikan dan kesihatan percuma kepada rakyat menjadi dasar penting kerajaan Brunei sebagai memenuhi tuntutan menjadikan Islam sebagai cara hidup syumul.

Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Negara Brunei Darussalam, Dr Norarfan Zainal berkata, sistem pendidikan diberikan keutamaan dan perhatian istimewa oleh pihak kerajaan sehingga diberikan peruntukan kewangan yang besar setiap tahun berbanding sektor awam yang lain.

Katanya, peruntukan besar ini disediakan atas dasar kepentingan membentuk sahsiah dan pembangunan sosio ekonomi negara selaku khalifah di muka bumi agar kemakmuran dinikmati daripada generasi ke generasi.

"Pendidikan di Brunei diberikan percuma. Malah belia yang melanjutkan pelajaran di universiti akan diberikan elaun RM1,000 sebulan," katanya ketika membentangkan kertas kerja Perpaduan Ummah: Pengalaman Negara Brunei Darussalam di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya, begitu juga dalam sektor kesihatan turut ditekankan oleh kerajaan Brunei apabila kerajaan akan menanggung perbelanjaan rakyatnya yang mendapat rawatan di luar negara.

"Jika rakyat perlu rawatan luar negara, kerajaan akan tanggung hingga ratusan juta demi menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan pelajar-pelajar negara ini yang mahu melanjutkan pelajaran di universiti di negaranya.

"Sekarang kerajaan Brunei sedang buka permohonan biasiswa, tarikh tutup 9 Januari 2016. Pada saya inilah peluang hantar anak-anak ke Brunei. Elaun pelajar akan disediakan dan makan minum ditanggung oleh kerajaan Brunei," ujarnya.

Justeru katanya, kemakmuran negara tidak akan tercapai melainkan dengan kesungguhan dan keiltizaman yang tinggi serta peraturan siasah yang bijaksana.

"Perpaduan itu dibentuk dan diacu hasil kebijaksanaan kepimpinan dan sistem pemerintahan yang adil serta pembangunan masyarakat dan negara yang didasarkan kepada agama Islam yang suci," tegas beliau. - HARAKAHDAILY 17/12/2015

Share on Myspace