RM2.6b: Antara ‘derma’ Najib dan pembangunan Sarawak

HARAKAHDAILY | .

KUCHING: PAS merakamkan ucapan tahniah atas pembentangan Bajet 2016 Negeri Sarawak oleh Yang Berhormat Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak baru baru ini, demikian ujar Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Sarawak Mohd Azwani Abdul Rani.

“Pembentangan sidang DUN kali ini adalah yang dianggap paling akhir sebelum Pilihan Raya Negeri yang dijangka Mac 2016, penambahan belanjawan untuk pembangunan rakyat Sarawak, khasnya luar bandar terus meningkat tidaklah mengejutkan.” Kata beliau yang juga YDP PAS Bintulu

Dalam pembentangannya Tan Sri Adenan berkata kerajaan menyediakan peruntukan yang lebih besar berjumlah RM2.65 bilion, bagi pembangunan luar bandar, lebih tinggi berbanding RM2.35 bilion yang diperuntukkan tahun lepas dan RM2.19 bilion pada 2014.

Mengenai prospek pendapatan 2016 hasil negeri, Adenan berkata dianggarkan sekitar RM5.55 bilion, dengan RM544 juta adalah daripada royalti hutan dan premium. Secara ringkas, Kerajaan Sarawak memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM5.97 bilion iaitu kira-kira 74 peratus daripada Bajet 2016 negeri itu bagi menampung perbelanjaan pengurusan.

“Ketua Menteri menambah Bajet Sarawak 2016 adalah berasaskan pembangunan  luar bandar dalam usaha untuk mencapai kemajuan yang lebih besar serta seimbang di negeri ini.Usaha ini harus dipuji.

“Beberapa langkah berani Adenan Satem, seperti Sarawak tanpa tol, pandangan berbeza dengan kerajaan pusat haruslah dipuji.

“Secara peribadi inilah Ketua Menteri yang lebih bijak dari seorang Perdana Menteri kini di Malaysia. Seorang pemimpin yang memberi 2.6 Billion untuk pembangunan luar bandar Sarawak, manakala seorang lagi, yang menerima "derma" 2.6 Billion, tapi tidak diketahui kemana hasilnya pada rakyat.” Kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 17/12/2015

Share on Myspace