Bauksit: Solat hajat mohon kesejahteraan rakyat Sabtu ini

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

KUANTAN: Setelah pelbagai cara dan usaha dilakukan bagi memohon pihak kerajaan menghentikan aktiviti perlombongan bauksit sejak dua tahun lalu menemui jalan buntu, satu program solat hajat akan diadakan Sabtu ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu berkata, solat hajat dan munajat rakyat itu sebagai usaha terakhir berikutan sehingga ke hari ini tidak ada sebarang perubahan dilihat malahan keadaan semakin tidak terkawal dan mengundang risiko.

Katanya, PAS Pahang bersama dengan Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) dan jawatankuasa Taman Impianku, mengambil inisiatif menganjurkan program kerohanian bagi memohon kepada Allah supaya melindungi rakyat kawasan sekitar Kuantan daripada sebarang musibah.

“Di samping itu kita juga memohon agar Allah SWT membuka hati pihak berkuasa supaya memberhentikan segala kegiatan yang merosakkan alam sekitar dan mengheret orang ramai ke arah risiko.

“Pihak kami juga amat bimbang dengan keadaan cuaca hari ini yang boleh mendedahkan satu musibah besar akan berlaku jika projek ini tidak dihentikan segera.

“Justeru itu, kami menyeru semua penduduk sekitar Kuantan hadir beramai-ramai untuk bersama bermunajat dan berdoa ke hadrat Allah SWT. Usaha ini amat penting khususnya kepada orang Islam supaya banyak berdoa dan bergantung harapan hanya kepada Allah,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyeru semua warga Kuantan dan orang ramai dapat hadir Sabtu ini di Surau Al Mukmin Taman Impianku bermula dari jam 7.30 malam sehingga 9.30 malam yang akan dipimpin oleh Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Adun Tanjung Lumpur Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Masalah bauksit telah menghantui penduduk Kuantan sejak dua tahun yang lalu. Tapak pelombongannya bermula di RTP Bukit Goh dan kini telah melarat ke beberapa lokasi di Sungai Karang dan Beserah. - HARAKAHDAILY 17/12/2015

Share on Myspace