Jaga-jaga Pak Long, sekerap dalam pot, nanti hilang

MUHAMMAD SANUSI | .

HUJAN kemarau yang tak menentu di akhir tahun macam minggu ini memang mencemaskan orang motong. Dua minggu lagi sekolah akan dibuka. Baju seluar, kasut stokin, tali pinggang, beg kena beli baru, hari mula buka sekolah nanti, buku tulis kena beli dan yuran PIBG lagi kena bayar.

Anak-anak orang motong mungkin tak bertukar pakaian tahun baru nanti. Bagi anak yang melangkah ke sekolah menengah, mak bapa tiada pilihan selain terpaksa membeli.

Sekerap dalam pot itulah modalnya. Ada yang sudah seminggu di simpan, ada yang kembung ada yang nipis ditimpa hujan bercampur bertindih dalam pot. Sebahagian besar daripada kami di daerah terperosok ini, bau getah sekerap adalah wangi, titisannya adalah penyambung nyawa, ketulan bekunya umpama slip gaji.

Andainya hujan menimpa diwaktu siang, susu meleleh pergi bersama peluh, andai hujan turunnya malam, esok lusa dapur mungkin tidak berasap.

Dua minggu lepas, seorang ustazah bercerita dalam ceramahnya. Sebuah kedai runcit di kampungnya dipecah masuk. Pintu dicungkil, tapi kecurian itu luar biasa. Sasaran biasa pencuri seperti duit dalam laci tak hilang, rokok tembakau dalam almari tak hilang.

Selepas diteliti, yang hilang hanya sekampit beras 5kg, beberapa biji telur dan sedikit ikan masin. Apakah petunjuk daripada kejadian seperti itu? Nak dilapor kepada polis pun tak sampai hati. Anak-anak siapakah yang sedang kelaparan di kampung itu? Mungkin ramai lagi di tempat lain.

Di sebuah kampung lain seorang pekedai bercerita sebulan lalu. Ada pelanggan tetapnya kerja motong pawah. Satu hari dia bawa dua biji kelapa untuk ditukar dengan sekilo beras. Walaupun santan dan kelapa bukan jualannya, dia ambil juga sebagai tukaran.

Kerana beras semuanya siap dalam kampit, di buka kampit beras 5 kg untuk ditimbang. Tak sampai hati memberi sekilo, dia beri dua kilo.  Kali pertama tangannya menggeletar menimbang beras. Wajah orang di depannya menunduk, risau ada pelanggan lain masuk. Dia masukkan juga 5 biji telur ayam sebagai sedekah. Baiknya hati orang kampung berkongsi kesempitan.

Lewat tahun 70-an hingga 90-an, keluarga besar kami telah melaluinya, melepasi himpitan hidup dengan sejuta kisah, bersama keluarga orang lain yang sentiasa dikenang. Sekolah dan ilmu pendidikanlah yang menyentak kami keluar dari putaran yang melemaskan itu.

Selepas 30 tahun, menjelang tahun 2016, putaran yang menghimpit kehidupan itu melanda lagi, melemaskan rakan taulan, saudara mara dan jiran tetangga sebaya yang sudah punya keluarga sendiri. Ganasnya putaran ini membadai apabila harga barangan keperluan melambung tinggi, harga getah tidak berubah.

Negara ini sudah jauh berubah fizikalnya. Bahasa dan gaya hidup pemimpin kerajaan pun makin sukar difahami, malah gaya pembaca berita pun seperti sorak sorai sukaria dalam istana.

Jumlah duit yang keluar dari mulut pemimpin sekarang tidak lagi ribu-ribu atau juta-juta. Duit derma pun sudah mencecah bilion-bilion. Yang tiris dan bocor pun bilion-bilion Laporan pencapaian agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat gergasi juga berbintang-bintang, untung berganda-ganda, bagai tiada lagi duka tiada derita tiada nestapa gara-gara miskin.

Annual dinner agensi, jabatan dan syarikat gergasi dirayakan di hotel-hotel lima bintang. Anugerah itu dan ini guna bajet yang diumumkan untuk orang ramai. Bahasa pegawai pun bercampur-baur. Orang motong tak pernah terbayang semua itu pun. Mesyuarat saja di awan biru. Bonus hujung tahun berlipat-lipat.

Di bawah helaian kertas laporan mereka itu, kehidupan rakyat desa tidak jauh berubah. RM2.00 -RM2.20 sekilo sekerap tidak berupaya membawa nafas lega kepada orang motong. Setiap kali sekerap dijual, tidak pernah sekalipun cukup untuk memenuhi keperluan, tidak sedikitpun berbaki untuk simpanan, jauh sekali kesenangan apa lagi kekayaan.

Bukanlah barang mustahil, menjelang tahun baru nanti, ada anak-anak kita 13-16 tahun umurnya, tidak lagi menjadi budak sekolah. Pakaian tak mampu dibeli, buku dan yuran lagi. Cukuplah setakat darjah enam dan tingkatan 3.

Bagi adik-adik sajalah pergi sekolah membaca dan mengira. Abang dan kakak yang sudah keras ototnya, jom ke kebun atau mengasuhlah adik di rumah. Kedai makan, tempat cuci kereta, tapak pembinaan, reban ayam, kedai pomen motor adalah sekolah baru mereka, mencari rezeki menyara keluarga, mak bapa berdua sudah tidak menang melawan desakan keperluan untuk hidup.

20 tahun daripada sekarang, yang tidak mampu ke sekolah, akan menghadapi kesempitan seperti hari ini, terperosok  ke dalam  putaran ganas kemiskinan itu.

Sebelum terlambat, berbuatlah sesuatu untuk membantu orang motong. Harga lantai sekerap pada RM4 sekilo hanya perlukan tambahan RM1.6 bilion bajet kerajaan setahun, berbanding bilion-bilion yang tersasar entah ke mana. Bernafaslah 570,000 keluarga orang motong, bersekolahlah anak-anak mereka, putaran kesempitan ini bisa berhenti.

Pak Long, jaga-jaga! Sekerap dalam pot, nanti hilang. Kerajaan kita tak pernah faham apa itu  sekerap hilang! – HARAKAHDAILY 17/12/2015

Share on Myspace