PAS tidak sanggup menjadi 'Pak Sanggup' Umno

ROSLI ABDUL JABAR | .

PAS adalah sebuah parti Islam, dasarnya adalah al-Qur'an, Hadis, Ijma dan Qias, bangun atas jalan Tarbiyyah, Dakwah dan Siyasah. PAS bergerak dan beroperasi untuk mendapat sokongan melalui prinsip dakwah yang jelas dan tegas, tidak dipengaruhi oleh sebarang faktor melainkan ia disandarkan kepada dasar PAS itu sendiri.

PAS boleh bertahaluf dengan sesiapa sahaja diatas titik perjuangan yang sama asalkan ia tidak merugikan Islam dan pasti akan memutuskannya jika ia merugikan Islam dan dasar parti. Semua parti boleh diterima PAS dan PAS juga boleh menerima semua huluran persahabatan dengan syarat terima atau hormati dasar yang diperjuangkan oleh PAS.

Diatas prinsip dakwah dan akidah, PAS sama sekali tidak akan menjuzuk-juzukkan kebenaran, kerana tiada lagi selepas kebenaran melainkan kesesatan, tiada tawar-menawar antara hak dan batil dalam menggunakan apa cara untuk mencapai matlamat perjuangan PAS, sekalipun dengan hanya satu perbuatan atau satu kalimah dari kebatilan.

Maksud Firman Allah SWT:

"Katakan (Wahai Muhammad) kebenaran itu dari Tuhanmu, maka barang siapa yang mahu (kepada keimanan) maka hendaklah ia beriman dan barang siapa yang mahu (kepada kufur) maka ia menjadi kafir". (Al-Kahfi : 29)

Kebenaran itu tetap dipertahankan dan PAS tidak akan tunduk dengan sebarang tawaran, ancaman dan caci maki manusia yang tidak bersetuju dengannya. Kita sambut huluran tangan sesiapa jua, dan kita lepaskan kembali diatas prinsip yang satu iaitu Islam, sesiapa yang sanggup menerima PAS, mesti sanggup untuk menerima dasar PAS sebagaimana PAS menerima huluran tangan sesiapa selagi ia tidak gelincirkan dasar perjuangan PAS.

Jika hubungan PAS dan DAP terputus, bukan makna PAS akan menyambut huluran tangan Umno, tangan pemimpin Umno pernah basah berlumuran dengan darah pemimpin dan amilin PAS, tangan pemimpin Umno pernah memberkas jasad pemimpin dan amilin PAS, PAS ingat semua tu. Namun atas prinsip Islam, PAS menolak untuk kerjasama dengan Umno bukanlah diatas sebab dendam, tetapi masih tetap diatas prinsip yang tegas iaitu Islam.

Lebih 50 tahun Umno memerintah Malaysia, peluru Umno sentiasa meluru kepada PAS dan selama lebih 50 tahun itulah juga Malaysia tidak pernah merasai tertegakkanya hukum Allah SWT secara menyeluruh, malahan diburukkan lagi dengan sikap buruk pemimpin Umno yang rakus.

Penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno bagaikan seperti perbuatan yang tanpa dosa dan bersalah, mereka bebas daripada hukuman tidak sebagaimana rakyat yang melakukan kesalahan.

Umno tidak memimpin rakyat Malaysia untuk menuju kepada Mardhatillah, begitu juga tidak berlakunya keadilan kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Umno sepertinya menjadi satu bangsa, dengan memandang PAS dan parti-parti lain sebagai satu bangsa yang lain.

Berlaku diskriminasi terhadap pembangkang, seperti merompak royalti minyak di Terengganu dan Kelantan, negeri yang diperintah dan pernah diperintah oleh PAS dan diskriminasi ini berlaku dimana-mana hingga di peringkat bawahan.

Gabungan PAS dan Umno hanya akan membebankan PAS, PAS tidak sanggup menjadi 'Pak Sanggup' yang akan terpaksa menanggung beban untuk membela keburukan yang dilakukan pemimpin Umno, 'tak pasal pasal' pula nanti PAS kena membela Umno, untuk tolong jawap isu 1MDB, 2.6 bilion, GST dan pelbagai lagi isu yang sangat menyusahkan rakyat, PAS tak nak jadi tukang cuci longgokan najis Umno. Biar dia mencucinya sendiri atau tenggelam di dalam najis yang dilonggokkan sendiri.

Bagi PAS kita akan menyampaikan risalah dakwah kepada sesiapa pun, termasuk Umno, berbaik bukan bermakna hendak bergabung, "Allah perintahkan Nabi Musa pergi kepada firaun", pergi itu untuk menasihati, pergi itu untuk jelaskan Islam, mungkin mereka terima, jika tidak, selama-lamanya mereka menjadi mad'u yang mesti kita sampaikan risalah dakwah kepada mereka, jika mereka menentangnya selama itulah wajib kita pertahankannya, inilah prinsip Islam.

Jika mereka terima dakwah yang kita disampaikan, maka mereka akan menjadi kita, kita sama sekali tidak akan menjadi dia, kerana kita yang mengajak, bukan dia. Kalau Umno ajak PAS masuk kedalamnya, Umno nak tawar apa kepada PAS? Harta? Jawatan? Hampir semua ahli PAS masuk dalam PAS kerana Islam, kalau nak harta, jawatan atau Putrajaya dah lama mereka masuk Umno, kalau ada orang masuk PAS kerana niat begitu, lambat laun pastinya keluar PAS.

PAS Pahang sepenuhnya menyokong tegasan Presiden PAS, Datuk Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa PAS tidak akan bergabung atau kerjasama dengan Umno dalam urusan politik, kalau untuk kebaikan Islam dan rakyat, itu dengan sesiapapun boleh.

Kerana dasar PAS itu Islam, bukan bangsa atau kepartian, maka PAS akan buat, selagi Islam kata boleh buat, PAS bukannya parti yang 'buat-buat' Islam, mengaku parti Islam pastu jadi pembela kepada orang yang menentang perlaksanaan hukum Islam. – HARAKAHDAILY 17/12/2015

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Pahang dan juga Adun Tanjung Lumpur

Share on Myspace