Tambak laut: CAP sangkal dakwaan Adun Batu Maung

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung Datuk Abdul Malik Abul Kassim bahawa projek tambak laut yang bakal dilaksanakan di Permatang Damar Laut disambut baik oleh komuniti nelayan pantai di kawasan tersebut.

"Mengulas kenyataan Adun tersebut, yang dilaporkan media, CAP ingin menjelaskan bahawa komuniti nelayan yang kami temui telah menimbulkan kebimbangan mereka terhadap projek yang dicadangkan, ujar Presiden CAP, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan.  

Tambahan daripada itu, katanya laporan media menyatakan bahawa nelayan dari 14 unit nelayan telah mengadakan protes pada Ahad lalu untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka ke atas projek penambakan yang dicadangkan.

Beliau berkata, beberapa kawasan nelayan yang terlibat dengan projek tambak laut sebelum ini telah menempuh berbagai-bagai masalah.

Contohnya, ujar beliau nelayan di kawasan Tanjong Tokong dan Sungai Gelugor telah merosot hasil tangkapan mereka kesan dari projek penambakan laut.

Menruutnya lagi, nelayan-nelayan di kawasan berkenaan bukan saja terpaksa pergi jauh ke laut bagi mendapatkan hasil tangkapan yang mencukupi, malah mengambil masa yang lama serta modal yang banyak terpaksa dikorbankan bagi tujuan tersebut.

Tambahnya, tinjauan CAP mendapati pelaksanaan projek itu bukan saja menyebabkan zon tangkapan nelayan pantai menjadi sempit, malah masalah pencemaran laut dan mendapan lumpur juga turut dihadapi mereka.

Kata beliau, selain ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di situ berkurangan, pembiakan siput serta kerang juga akan terjejas dan mengalami kepupusan.

Beliau berkata, sejak 10 tahun yang lalu banyak rungutan dan aduan oleh nelayan-nelayan pantai di negeri itu tentang kemerosotan hasil tangkapan yang dihadapi mereka berpunca dari berbagai ancaman yang berlaku di kawasan tangkapan mereka.

"Masalah ini berpunca dari kegiatan penambakan laut, pemusnahan hutan paya bakau, pencemaran dari kilang dan kolam ternakan udang serta sisa lumpur dari tapak projek pembangunan," ujarnya.

Di Permatang Damar Laut, kata beliau CAP telah menerima aduan tentang pencemaran sisa lumpur yang berlaku dan dihadapi oleh nelayan-nelayan di sini tidak diberi perhatian serius dan gagal diambil tindakan berkesan oleh kerajaan negeri.

"Akibatnya ikan yang ditangkap, lumpur yang terperangkap dalam jaring mereka," katanya lagi.

Justeru, katanya CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang menimbangkan kesan buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan sebelum merancang sesuatu projek pembangunan.

"Kami memetik Maunier: Dalam mengejar kemajuan... jangan biarkan sesiapa menderita dengan langkah terlalu drastik, atau  membayar harga yang terlalu tinggi kerana pergolakan dan kemusnahan, untuk inovasi anda," ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/12/2015

Share on Myspace