Sekolah agama di Kemboja guna kurikulum Yik

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Bukan sahaja pentadbiran berasas Islam di Kelantan ditiru negeri-negeri lain, sebaliknya ada negara asing menggunakan kurikulum pendidikan Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Sekolah-sekolah agama di Kemboja menggunakan kurikulum Yik sejak lebih 10 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan berkata ada beberapa sekolah agama di negara terbabit menggunakan kurikulum dan kertas peperiksaan Yik.

“Mereka guna sepenuhnya kurikulum Yik. Pengawas pun kita hantar ke sana bagi mengendalikan peperiksaan. Peperiksaan Sijil Menengah Ugama dijalankan serentak di Kelantan dan Kempuchea.

“Jadual peperiksaan pun sama. Keputusan peperiksaan sekolah agama di Kemboja dikeluarkan di sini,” katanya di sini.

Menurutnya ketika peperiksaan diadakan pelajar di Kemboja ditempatkan di Pejabat Mufti bagi memudahkan pengawasan.

Kata beliau setiap tahun dianggar antara 50 hingga 100 calon di negara tersebut menduduki peperiksaan SMU kelolaan Yik.

“Biar pun kita menyedia dan membekalkan segala kemudahan namun tidak dikenakan sebarang bayaran. Kelantan membantu secara percuma.

“Dan tahun hadapan keseluruhan sekolah agama di negara itu berminat menggunakan peperiksaan SMU dikendalikan Yik,” katanya. - HARAKAHDAILY 17/12/2015

Share on Myspace