Kerajaan perlu manfaatkan ulama lepasan Al-Azhar

SALMIYAH HARUN | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kerajaan sewajarnya memanfaatkam kepakaran ulama negara ini daripada mengambil atau mendengar nasihat daripada barat.

Ketika menyampaikan ucaptama di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 hari ini, beliau berkata ramai ulama lepasan Al-Azhar ini boleh diketengahkan untuk dimanfaatkan kerajaan dalam mentadbir negara ini.

"Zaman penjajah sudah tidak ada lagi di negara ini. Kita sendiri (tadbir negara). Ulama-ulama dan ustaz kita yang belajar agama ramai di negara kita.

"Bila kekuatan secara berkumpulan ia sukar untuk dilumpuhkan," katanya yang turut disambut tepukan gemuruh para peserta alumni yang memenuhi ballroom sebuah hotel di sini petang ini.

Malah katanya, ilmu daripada barat boleh dimanfaatkan tetapi ketepikan nasihat mereka.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berharap agar negara ini tidak menjadi seperti negara Arab yang bertelingkah sehingga mengundang peperangan sesama umat.

"Kita berbeza pendapat dan berkelahi tetapi tidak sampai macam negara Arab," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Multaqa Serantau hari ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas ucaptama yang disampaikan oleh Presiden PAS itu.

Ramai pimpinan tertinggi kerajaan dan pimpinan utama PAS hadir ke majlis itu, antaranya Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah, Ketua Dewan Ulamak PAS Malaysia Datuk Mahfodz Mohamed, Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan, Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Muslimat Nuridah Salleh. - HARAKAHDAILY 17/12/2015

Share on Myspace