Mangsa banjir positif terima khidmat Unit Amal

HARAKAHDAILY | .

ALOR GAJAH: PAS Alor Gajah berkongsi simpati dan empati terhadap kesulitan yang dilalui masyarakat setempat ekoran banjir yang melanda daerah ini dengan mengambil inisiatif menubuhkan bilik operasi banjir bagi membantu mangsa-mangsa terjejas banjir.

Yang Dipertua PAS kawasan, Shahabuddin Isnin berkata pelbagai sumbangan dihulurkan bagi meringankan beban mangsa banjir melibatkan sumbangan barangan keperluan asas serta khidmat pembersihan rumah pasca banjir.

Katanya, pihaknya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan semua pihak dalam operasi bantuan banjir sama ada sumbangan wang, barangan, makanan, masa mahupun tenaga.

"Penghargaan khusus ditujukan kepada semua anggota Unit Amal; Unit Amal Melaka dan Unit Amal Johor yang telah memberikan komitmen tinggi dalam tugasan kali ini," katanya lagi.

Menurutnya, penerimaan masyarakat setempat terhadap PAS bersama jentera Unit Amalnya tetap memberangsangkan dan sangat positif sekali.

Ucapan penghargaan juga, katanya ditujukan kepada para petugas PAS kawasan, Dewan Pemuda PAS Alor Gajah, Dewan Muslimat PAS Alor Gajah, MTD Durian Tunggal, MTD Gadek serta semua yang terlibat dalam operasi bantuan itu.

Para penyumbang dan dermawan yang ingin menghulurkan bantuan khususnya barangan keperluan asas masih boleh berbuat demikian melalui Dewan Pemuda PAS Alor Gajah dengan menghubungi talian 012 3987001 (Haji Ali) atau 011 208 37578 (Suhaib Ansari). - HARAKAHDAILY 18/12/2015

Share on Myspace