PT3: Jangan jadikan anak kita tikus makmal

NORMALA SUDIRMAN | .

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mendakwa bahawa ibu bapa sudah mula memahami dengan lebih baik konsep pelaksanaan Pentaksiran (PT3) yang diperkenalkan sejak tahun lalu. Namun Pendidik (Pendidik - sebuah badan bukan kerajaan) melahirkan kebimbangan dan menyuarakan rasa sangsi atas dakwaan itu.

Beliau menjelaskan bahawa PT3 iaitu empat komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dianalisis oleh pihak sekolah dan bukan dilakukan secara berpusat.

Inilah yang membimbangkan kami kerana Pendidik menerima banyak aduan dan rungutan daripada ibu bapa dan warga pendidik sebelum ini berkaitan cara penandaan markah diberi kepada pelajar dan banyak rungutan yang ditimbulkan akibat kesangsian dari segi keabsahan dan integriti serta akauntabiliti guru yang menanda dan memberi markah kepada pelajar.

Sedangkan guru yang menjadi pelaksana dasar PT3 pun masih belum benar-benar faham cara pelaksanaan dan pemberian markah dibuat, inikan pula ibu bapa.
 
Meskipun sebagai ibu bapa, mereka mahukan anak-anak mereka mendapat keputusan cemerlang dalam bidang akademik atau semua A, namun yang lebih penting adalah ketelusan dan integriti guru sebagai pemeriksa kertas adalah yang paling penting.

Kebimbangan ramai pihak terutama ibu bapa adalah guru dari sekolah masing-masing boleh terdorong untuk memberikan markah gred A atau ‘meluluskan‘ pelajar hanya  semata-mata untuk menjaga nama baik dan prestasi sekolah, sedangkan hakikatnya pelajar masih lemah dalam pencapaian yang diuji.’
      
Saya sebagai Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan, mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berterusan memberi perhatian serius tentang cara pelaksanaan dan kaedah format Pentaksiran Pelajar Tingkatan 3 (PT3) yang telah dijalankan dan telah bermula sejak bermula April 2014.

Kami ingin mengimbas bagaimana pelaksanaan awal PT3 yang menimbulkan keresahan warga pendidik, sebelum ini telah semakin membuak terutama seawal bulan Jun lagi sedangkan peperiksaan telah bermula seawal Julai 2014. Guru-guru pula masih keliru bentuk pelaksanaan yang telah dilakukan kerana taklimat belum lagi menyeluruh kepada semua pelaksana dasar di peringkat sekolah pada ketika itu.

Sebelum ini, Pendidik telah mendesak KPPM agar memberi taklimat seberapa segera tentang semua proses pelaksanaan instrumen PT3 dan Lembaga Peperiksaan perlu memastikan ia sampai kepada pelaksana dasar kerana masa sudah suntuk dan keresahan semua pihak semakin tidak dapat dibendung lagi.

Setiap hari Pendidik menerima aduan bukan sahaja daripada kalangan guru, malahan juga daripada  ibu bapa dan pelbagai NGO yang prihatin terhadap masa depan anak bangsa.

Pendidik telah mengingatkan sebelum ini dalam suatu kenyataan bertarikh 24 Jun 2014, iaitu yang paling penting sekali semua pengetua dan ketua jabatan harus benar-benar memahami apa itu PT3, supaya mereka bukan hanya tahu memberi arahan semata-mata sebaliknya dibimbangi mereka yang merupakan peneraju utama pentadbiran sekolah rupa-rupanya tidak faham mengenainya.

Ibu bapa pula bimbang sejauhmana ketelusan pelaksanaan yang dibuat dalam keadaan tergesa- gesa ini setelah ditangguhkan sehingga April, kerana apakah mungkin wujudnya ‘double standard’ dalam membuat klasifikasi gred pencapaian kerana guru di sekolah masing-masing yang akan memberi penilaian bukan pemeriksa dari sekolah lain sebagaimana PMR sebelum ini.

Persoalannya, ruang untuk membuat ‘diskriminasi’ kepada pelajar atau wujud ‘sentimen pilih kasih’ mungkin berlaku. Juga semua guru perlu memiliki integriti yang tinggi dan jujur dalam memastikan setiap markah dan gred yang diberi adalah berdasarkan jawapan pelajar semata-mata, bukan sebab hanya mahu meluluskan pelajar atau menaikkan peratus serta prestasi sekolah untuk menggambarkan kepada masyarakat bahawa PBS ini berjaya dan instrumen PT3 dilaksanakan tidak ada sebarang masalah.

Hal ini adalah kerana pihak sekolah dibimbangi akan memilih jalan selamat dengan ‘meluluskan pelajar’ agar tidak dikunjungi atau dipantau oleh pihak Nazir Persekutuan, Pejabat Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah. Akhirnya yang akan menjadi mangsa, adalah pelajar tingkatan tiga yang menjadi mangsa eksperimen dasar PBS yang tidak konsisten dan bercelaru sejak awal pelaksaannya.

Guru-guru pula sebelum ini menjadi terbeban kerana untuk memahami pelaksanaan PT3  dan PBS dalam masa yang cukup singkat, dalam masa yang sama, perlu melakukan kerja-kerja perkeranian yang tidak berkesudahan sungguhpun tidak perlu bangun malam untuk memasukkan data sehingga jam 2 atau 3 pagi akibat akses dan capaian internet yang cukup rendah sebelum ini. Semua telah  menganggu tugas dan fokus guru dalam mencurahkan ilmu kepada pemimpin masa hadapan.

Ada ibu bapa yang bertanya, jika mereka bukan ahli atau penyokong Umno Barisan Nasional, apa jaminan anak mereka tidak akan menjadi mangsa ‘dendam politik’ guru-guru yang berjawatan Umno di sekolah. Sedangkan  sejak 58 tahun lalu, walalupun guru tersebut guru yang cemerlang tetapi dianggap propembangkang berisiko ditukar ke sana sini.

Inikan pula kami sebagai ibu bapa pelajar yang tidak dianggap menyumbang atau berjasa apa-apa dalam dunia pendidikan Malaysia.

Pendidik menerima banyak aduan dan rungutan tentang keresahan warga pendidik dan ibu bapa yang melahirkan kebimbangan tentang pelaksanaan PT3 yang dianggap hasil dasar pendidikan yang tidak konsisten dan bercelaru sejak PBS mula dilaksanakan.

Pada 1 hingga 18 Julai 2014, peperiksaan kali pertama telah melibatkan instrumen bagi Subjek Sejarah dan Geografi. Manakala ujian kemahiran mendengar dan bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula antara 6 hingga 29 Ogos 2014. Jadi, ini bukanlah perkara yang harus dipandang ringan oleh Kementerian Pendidikan  Malaysia.

Sebab itulah sejak awal pelaksanaan PBS pada tahun 2012, Pendidik telah menghantar memorandum ke Dewan Rakyat memohon agar PBS dikaji semua. Diikuti dengan bantahan secara serius  pada 22 Februari 2014 dalam ‘Himpunan Mansuh PBS’ di Bandar Baru Bangi. Himpunan ini adalah untuk mendesak agar PBS dimansuhkan serta merta, sementara kajian rintis dilaksanakan dengan baik sebelum diteruskan.

Pendidik meneruskan desakan sekali lagi, melalui penyerahan memorandum ke Suhakam, Kementerian Pendidikan di Putrajaya dan Parlimen Malaysia pada tahun ini agar isu ini diambil perhatian.

Kini, warga pendidik dan pihak sekolah juga berdepan dengan dilema kerana pelaksanaan PT3 membebankan ‘pelaksana dasar’ iaitu warga pendidik  dan pelajar.

Jika dulu pertanggungjawaban atau akauntibiliti untuk menjaga kerahsiaan soalan PMR Tingkatan 3 adalah tanggungjawab  Lembaga Peperiksaan Malaysia, tetapi kini apabila PT3 dilaksanakan, ia telah diperturunkan terus kepada pihak sekolah yang terpaksa menyediakan ‘bilik kebal’ dan prasarana yang lengkap. Jika soalan UPSR pun boleh bocor, apa jaminan soalan ini terpelihara dengan baik tanpa berdepan dengan risiko ‘bocor’? Bagaimana pula dengan sekolah luar bandar yang kurang persediaan prasarana, sejauh mana boleh dipastikan kes bocor soalan tidak berlaku.

Jika dahulu, guru yang dilantik menjadi pengawas peperiksaan dan penanda kertas soalan menerima sedikit imbuhan, kini semuanya telah tiada sejak pelaksanaan PT3. Guru perlu menyedia kertas soalan, menanda markah pelajar masing-masing dan memastikan kertas soalan di ‘bilik kebal’ sekolah masing-masing selamat.

Dahulu pengawas peperiksaan dan penanda markah kertas soalan dilakukan di sekolah atau negeri yang berlainan dari mereka berkhidmat agar tidak pilih kasih dalam pemberian markah pelajar. Namun kini, tidak berlaku. Semuanya dari sekolah masing- masing.

Yang paling mengejutkan lagi, jika dahulu ketika pelajar tingkatan 3 ini digambarkan bahawa tidak ada peperiksaan pada tingkatan 3 kerana mereka tidak diberi gambaran akan menghadapi cara pelaksanaan dan format peperiksaan, sejak tingkatan 1 dan tingkatan 2, tetapi akhirnya pelaksanaan PT3 yang dilakukan secara tidak teratur dan tergesa- gesa sangat mengecewakan pentadbir dan warga pendidik dan pelajar.

Hal ini kerana sangat jelas kurangnya persediaan di kalangan ‘pembuat dasar’ dan ‘pelaksana dasar’ dalam pelaksanaan PBS dan PT3 ini yang akhirnya ‘memangsakan pelajar’.

Warga pendidik pula berdepan dengan ‘tekanan kerja melampau’  yang menganggu tumpuan mereka mengajar akibat tugas-tugas perkeranian yang membebankan seperti memasukkan data markah pelajar, menyedia soalan, menanda, mengawasi peperiksaan yang dijalankan termasuk diarahkan agar memastikan murid tingkatan 3 ini menjalani peperiksaan akhir tahun, walaupun baru selesai menghadapi peperiksaan PT3.

Pelajar tingkatan 3 juga merungut kerana ‘stress’ akibat pelaksanaan dasar bentuk baharu ini kerana sebaik sahaja menjalani peperiksaan PT3, mereka terpaksa sekali lagi menjalani peperiksaan akhir tahun. Sekali lagi guru sekolah dibebankan dengan tugas penandaan dan memasukkan data dalam selang waktu yang sangat singkat

Kami mengharapkan pihak ibu bapa di seluruh Malaysia melalui PIBG di sekolah masing-masing, mengambil perhatian dengan mendesak pihak KPM menilai semula kaedah pelaksanaan PT3 sebelum terlambat. Ini adalah kerana, yang akan menjadi mangsa eksperimen dan tikus makmal adalah anak bangsa kita juga. – HARAKAHDAILY 18/12/2015

Penulis ialah Presiden NGO Pendidik (Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan) merangkap  AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat

Share on Myspace